MELAKA – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) lembam dipenjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan merogol anak tirinya dua tahun lalu.
Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin menjatuhkan hukuman itu selepas mensabitkan bapa kepada tiga anak berusia 27 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah pada akhir kes pendakwaan hari ini.
Terdahulu, selepas menimbangkan keterangan tujuh saksi dan hujah pihak pendakwaan serta pembelaan, Maziah Joary memutuskan wujud prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri terhadap pertuduhan.
Bagaimanapun tertuduh yang berasal dari sebuah kampung di Bukit Katil di sini memberitahu mahkamah dia ingin menukar pengakuan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Mac 2020 mengikut peruntukan Seksyen 26 (1) dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh turut diarahkan menjalani kaunseling pemulihan serta dua tahun pengawasan polis selepas selesai hukuman.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun enam bulan ketika kejadian yang mana yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Bukit Katil pada kira-kira pukul 2 pagi pada 19 Februari 2020.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat tidak kurang 10 sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKU lembam itu memandangkan kesalahan merogol anak tiri adalah serius.
Peguambela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Chia Cheng Wee merayu hukuman ringan kerana tertuduh seorang OKU lembam yang hanya bekerja kampung dan menanggung isteri menghidap psikatri dan tiga anak termasuk dua anak tiri.
Hakim Maziah Joary kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan 10 sebatan bermula dari tarikh ditangkap pada 9 Mac 2020. – MalaysiaGazette