Home Ekonomi Pelabur asing beli RM26.15j ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing beli RM26.15j ekuiti tempatan minggu lalu

Bangunan Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk bersih berjumlah RM26.15 juta pada minggu berakhir 20 Mei lalu.

Bagaimanapun, pembeli runcit menjadi penjual bersih, selepas lima minggu berturut-turut menjadi pembeli dengan aliran keluar bersih sebanyak RM8.03 juta.

Sementara itu, pelabur institusi masih menjadi penjual bersih dengan jualan RM18.12 juta pada minggu lepas.

MIDF Research berkata, sehingga kini, dana antarabangsa itu telah menjadi pembeli bersih selama 16 daripada 20 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM7 bilion.

Pelabur asing hanya menjadi penjual pada hari Selasa dan Rabu, masing-masing sebanyak RM51.97 juta dan RM10.60 juta.

Sementara, pelabur institusi menjadi pembeli bersih pada hari Selasa dan Rabu masing-masing berjumlah RM57.68 juta dan RM13.23 juta.

Jualan bersih tertinggi dicatatkan pada hari Jumaat sebanyak RM63.07 juta manakala jualan bersih terkecil berlaku pada hari Khamis kepada RM25.96 juta.

Pelabur institusi menjadi penjual bersih selama 17 daripada 20 minggu tahun ini dan sehingga kini, pelabur asing telah menjual RM8.11 bilion ekuiti, kata firma penyelidikan itu.

Manakala pelabur runcit menjadi penjual bersih dari Selasa hingga Khamis, dengan jumlah jualan sebanyak RM13.55 juta.

Luar biasa pada hari Jumaat, apabila pelabur runcit merekodkan belian bersih RM5.52 juta untuk minggu itu.

Dari segi penyertaan, pelabur asing menyaksikan peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak +13.14%. dan pelabur runcit menyaksikan penurunan sebanyak 1.06% manakala institusi tempatan juga menurun 0.75%. – MalaysiaGazette