Home Nasional Pemuda pukul warga emas direman empat hari

Pemuda pukul warga emas direman empat hari

Lelaki yang mencederakan warga emas di Padang Jawa, Shah Alam pada 22 Mei lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok.

KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal yang memukul lelaki warga emas di Padang Jawa semalam direman empat hari bermula hari ini.

Permohonan reman itu diperoleh daripada Mahkamah Shah Alam pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.

“Pihak kami telah mendapat perintah reman dari Mahkamah Shah Alam selama empat hari bermula hari ini hingga 26 Mei ini terhadap suspek berusia 23 tahun itu untuk tindakan melengkapkan siasatan,” katanya.

Pemuda itu dikatakan memukul warga emas itu gara-gara tidak berpuas hati dan berang dengan mangsa yang membelok kenderaannya secara mengejut di jalan berdekatan jejantas Padang Jawa Shah Alam.

Kejadian dia memukul mangsa tular di media sosial.

Pemuda tersebut ditahan selepas warga emas yang berusia 61 tahun itu membuat laporan polis.

Mohd Iqbal berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Semasa kejadian, warga emas itu sedang memandu bersama isteri dan cucu untuk ke Putrajaya jam lebih kurang 12 tengahari.

Semasa membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, suspek yang menaiki motosikal Yamaha Y15 berada di sebelah kiri kereta mangsa telah menjerit dan memarahi pemandu.

Pemandu itu memberhentikan kereta untuk memeriksa keretanya namun sebaik sahaja keluar dari kereta, suspek terus menyerang mangsa.

Mangsa yang ditendang di kiri dan ditumbuk pada muka dan kepala mangsa menyebabkan warga emas itu mengalami bengkak bawah mata dan kepala serta sakit di bahagian rusuk. – MalaysiaGazette

Individu pukul warga emas ditangkap