KUALA LUMPUR – Negara dianggar mengalami kerugian sebanyak RM28 bilion dalam sektor peladangan kelapa sawit pada tahun ini ekoran kekurangan pekerja asing.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding tahun lalu sebanyak RM21 bilion susulan sekatan sempadan akibat pandemik Covid-19 selepas mengalami penyusutan pekerja asing seramai 75,000.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkata, walaupun nilai eksport meningkat sebanyak 48 peratus pada tahun lalu namun prestasi sektor perladangan kelapa sawit merosot apabila kuantiti eksport berkurang 4.4 peratus pada suku keempat.
”Situasi ini adalah berkait dengan isu kekurangan pekerja asing dan tempatan serta jurang yang besar di dalam aspek pembangunan dan pemerkasaan modal insan bagi pekerja tempatan di dalam sektor perladangan kelapa sawit,” katanya.
MPC berkata, beberapa isu yang telah dikenalpasti di dalam permasalahan kekurangan pekerja asing boleh diselesaikan menerusi intervensi jangka pendek dan panjang yang berkesan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, intervensi jangka pendek dengan mempercepatkan ketibaan 32,000 pekerja asing (pekerja lapangan) dari Indonesia dalam masa terdekat ini.
Proses pemgambilan pekerja perlu tuntas dan efisien bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing kerana pada masa kini penyelarasan dalam proses pengambilan pekerja asing juga perlu beralih kepada platform digitalisasi sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan manusia.
”Kerajaan dan pemilik-pemilik ladangan juga perlu berganding bahu dalam meneruskan pembiayaan program reskilling & upskilling terutamanya bagi pekerja tempatan.
”Pembangunan dan pemerkasaan modal insan pekerja tempatan perlu diberi penekanan penuh kerana mereka yang memegang jawatan di peringkat atasan seperti pekerja-pekerja pejabat dan pengurus ladang yang akan memastikan pengurusan keseluruhan ladang adalah terjaga sepenuhnya,” ujar beliau.
Selain itu, pemberian subsidi untuk program pendidikan yang betul mengenai ladang kelapa sawit juga perlu diberi keutamaan.
Jelasnya, program-program yang diperkenalkan oleh pihak keraajaan perlu dibentuk dan diperkasakan ke arah pemikiran, persepsi dan pemahaman yang baik terhadap sektor perladangan kelapa sawit.
Pendekatan Behavioural Insight boleh diadaptasi untuk menarik lebih ramai pekerja tempatan di sektor perladangan.
Tambah beliau, program kesedaran dan kesediaan juga perlu difokuskan ke arah inisiatif automasi dan mekanisasi bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melibatkan diri di dalam sektor ini.
“MPC sebagai badan fasilitasi melalui Technical Working Group on Human Capital (TWGHC) di bawah pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) optimistik permasalahan kekurangan pekerja di sektor perladangan kelapa sawit boleh diatasi dengan beberapa intervensi berkesan oleh pemegang taruh,” ujar beliau. – MalaysiaGazette