Home Sukan TMJ cabar Sanusi dedah nama individu digelar ‘tokong’

TMJ cabar Sanusi dedah nama individu digelar ‘tokong’

Muhammad Sanusi (kiri_ dan Tunku Ismail.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar Presiden Persatuan Bolas Spak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan nama individu yang digelar sebagai ‘tokong’ dalam bola sepak Malaysia.

Menerusi satu ciapan pada akaun Twitter miliknya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut meminta Menteri Besar Kedah itu menyatakan semua dakwaan yang dimaksudkan dengan menyertakan bukti dan fakta.

“Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segala-galanya. Ini cakap main sembur, badut Mc Donald pun boleh. Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Typical politician,” tulis TMJ.

Muhammad Sanusi sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa ada individu yang mengawal bola sepak Malaysia, namun tidak mendedahkan nama individu berkenaan.

“Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu, kawan (ada pihak) nak pergi latihan sana, kena tanya dia dulu, lepas itu dia round pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah, saya tahu semua itu, dia ingat orang tak tahu, jangan bagi saya cerita semua,” katanya.

Sebelum ini, Sanusi menyatakan beliau tidak mahu sebarang “tokong” dalam saingan liga bola sepak tanah air kerana bola sepak adalah untuk semua pihak.

“Bola sepak ini bukan untuk individu dan tak boleh ada ‘tokong’ dalam sukan ini sampai semua nak pergi sembah dia dulu. Jangan ada tokong dalam bola sepak sebab bola sepak ini sukan untuk semua orang.

“Sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis fair play tetapi ada “tokong”. Semua nak kena tanya dia dulu, ‘mampuih’ lagu (macam) tu, nak main macam mana,” katanya.

Namun, ada yang mendakwa isu berkenaan turut menjadi punca JDT memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad yang dipinjamkan kepada pasukan Kedah Darul Aman FC untuk kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan.

Dalam perkembangan lain, TMJ dalam kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Facebook rasmi kelab JDT iaitu JOHOR Southern Tigers semalam menjelaskan, beliau sudah menyatakan masalah yang dihadapi bola sepak tanah air sejak 2013.

Katanya, apa yang diperkatakan itu memang berlaku dan kejayaan yang dicapai skuad Harimau Selatan ketika ini menjadi ikutan pasukan lain.

“Dari 2013 semua benda saya katakan berkenaan dengan pencapaian JDT dan masalah bola sepak tanah air, pemain-pemain, kemudahan dan pembangunan bola sepak semua dipertikaikan oleh orang-orang yang tiada pencapaian dalam industri bola sepak. Tetapi pada hari ini, semua yang saya cakap berlaku dan diikuti,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siapa tokong yang beliau maksudkan? Sebutlah nama – Onn Hafiz