Home Nasional HFMD: 39 murid sekolah di Melaka dijangkiti

HFMD: 39 murid sekolah di Melaka dijangkiti

Rais Yasin

MELAKA – Seramai 39 murid prasekolah berusia lima dan enam tahun di 22 buah sekolah di Melaka dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, ia melibatkan sebanyak 21 buah sekolah di daerah Alor Gajah selain satu sekolah di daerah Melaka Tengah manakala tiada kes bagi daerah Jasin.

“Bagaimanapun, semua kes ini masih terkawal dan tidak melibatkan penutupan kelas mahu pun sekolah kerana pihak Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) sentiasa melakukan pemantauan.

“Fokus kita sekarang adalah memastikan kes di Alor Gajah tidak merebak dan meminta kerjasama ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak mereka yang mempunyai gejala HFMD ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka 2022 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sebuah hotel di sini hari ini.

Sebahagian guru yang hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka 2022 di sebuah hotel di Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, ibu bapa murid sekolah di negeri ini bagaimanapun dinasihatkan tidak panik kerana kedua-dua jabatan itu sentiasa bekerjasama dalam mengawal penularan penyakit itu.

“Saya mohon semua termasuk ibu bapa supaya tidak panik kerana di pihak jabatan kita juga sudah minta mana-mana sekolah kalau nampak sahaja ada gejala HFMD, beri perhatian segera supaya tidak merebak,” katanya.- MalaysiaGazette