Home Nasional Malaysia-Jepun bakal meterai MoC penghantaran pekerja mahir – Saravanan

Malaysia-Jepun bakal meterai MoC penghantaran pekerja mahir – Saravanan

M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Jepun akan menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Malaysia dengan Jepun berhubung penghantaran pekerja mahir ke negara berkenaan.

Memorandum berkenaan akan ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menerusi lawatan kerjanya ke Jepun yang akan bermula esok sehingga 28 Mei ini sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ke negara tersebut.

Jelas beliau, MoC berkenaan bertujuan membantu memartabatkan Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) negara bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan pekerja tempatan.

MoC tersebut selaras dengan hasrat Kerajaan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) iaitu mencapai sasaran 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam guna tenaga negara.

“Memorandum kerjasama ini juga akan memberikan peluang kepada rakyat tempatan untuk memperolehi pengalaman dan kepakaran di Jepun untuk satu tempoh masa di mana apabila mereka pulang kelak akan dapat menyumbang kepada industri yang berkaitan di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Saravanan, kerjasama berkenaan menggariskan 14 Sektor Penghantaran Pekerja Mahir, antaranya termasuklah Industri Perkakasan & Bahagian Mesin, Industri Jentera Perindustrian, Industri Elektrik, Elektronik & Maklumat, Industri Pembinaan Kapal & Jentera Kapal, Industri Pembaikan & Penyelenggaraan Automobil serta Industri Penerbangan.

Dalam lawatan kerja yang sama, kementerian, katanya lagi akan menandatangani MoC dengan Menteri Kehakiman, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan dan Agensi Polis Negara Jepun.

Sementara itu Saravanan akan turut melawat Cyberdyne Studio untuk melihat teknologi Neuro-Robotik tercanggih, Robot Suit HAL (Hybrid Assistive Limb) iaitu robot cyborg pertama di dunia berkaitan pemulihan dan rehabilitasi.

“Ianya akan menjadi suatu penanda aras untuk penubuhan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan yang bakal dibina di Negeri Perak kelak,” katanya.- MalaysiaGazette