Home Ekonomi Norman pangku jawatan CEO Cradle Fund

Norman pangku jawatan CEO Cradle Fund

Norman Matthieu Vanhaecke

KUALA LUMPUR – Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) melantik Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korpora, Norman Matthieu Vanhaecke sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif susulan peletakan jawatan Rafiza Ghazali berkuat kuasa 31 Mei ini.

Norman akan memangku jawatan itu pada 1 Jun ini sehingga penggantian tetap disahkan.

Lembaga Pengarah Cradle berkata, Rafiza telah memainkan peranan penting dalam meluaskan mandat bagi yang telah melangkau sekadar pemberian geran, kepada peranan terkini sebagai peneraju ekosistem start-up melalui Strategi MYStartup.

Sepanjang perkhidmatannya, Cradle telah dilantik sebagai ‘focal point’ untuk Ekosistem Start-up Malaysia dan sebagai agensi penyelaras untuk Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia 2021-2030 (SUPER).

Dengan sokongan Kementerian Kewangan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pihak Lembaga Pengarah kini menjalankan proses semakan dan penilaian yang teliti untuk mengenalpasti pengganti yang terbaik bagi Rafiza.

Pelantikan baharu akan diumumkan setelah keputusan dan kelulusan yang sewajarnya telah diperolehi.

”Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Rafiza di atas sumbangan beliau kepada Cradle dan komuniti start-up. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Rafiza telah bekerja dengan efektif dengan semua pemegang berkepentingan utama dan menunjukkan keupayaannya dalam meletakkan Cradle untuk memainkan peranan kepimpinan dalam ekosistem Start-up Malaysia.

”Di atas kapasiti individu, Rafiza juga telah menetapkan tanda aras bagi penyertaan wanita memegang jawatan kanan dalam arena digital dan start-up. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Rafiza dalam perancangan masa hadapan beliau.” kata Datuk Yvonne Chia, Pengerusi Cradle.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah akan terus bekerjasama rapat dengan Norman Matthieu Vanhaecke dan Pengurusan Kanan di Cradle untuk memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan lancar.

Cradle diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia pada 2003 dengan mandatnya menyediakan dana kepada syarikat permulaan berpotensi dan berkaliber tinggi dalam bidang teknologi melalui Program Pelaburan Cradle (Cradle Investment Programme, CIP).

Sepanjang sejarahnya, Cradle telah membantu membiayai lebih 1000 start-updi Malaysia dan mempunyai kadar pengkomersilan tertinggi dalam geran kerajaan di negara ini. – MalaysiaGazette