JOHOR BAHRU – Kadar kemalangan jalan raya pada Op Selamat 18 antara 29 April hingga 8 Mei lalu mencatatkan penurunan sebanyak 7.5 peratus berbanding berbanding Op Selamat 15.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 2,302 kes dilaporkan dalam tempoh berkenaan berbanding 2,488 kes dalam operasi yang sama pada 2019.
“Jumlah ini menunjukkan penurunan 186 kes bagi perbandingan untuk Op Selamat pada tahun ini dan 2019. Kita bandingkan dengan Op Selamat pada 2019 kerana pada 2020 dan 2021 kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sementara bagi jumlah kemalangan maut bagi tempoh tersebut hanya mencatatkan 20 kes dengan 20 kematian berbanding 22 kes dengan 24 kematian bagi tempoh sama pada 2019,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Bagaimanapun Kamarul berkata, jumlah kemalangan melibatkan kecederaan parah meningkat dengan 22 kes pada tahun ini berbanding lapan kes bagi tempoh yang sama dua tahun sebelum itu.
Jumlah kemalangan melibatkan kecederaan ringan juga turut meningkat dengan 27 kes pada tahun ini berbanding hanya sembilan kes pada 2019, ujar beliau.
“Mereka yang cedera dalam kemalangan berjumlah 8,621 kes pada tahun ini berbanding 2,486 kes pada 2019.
“Bagi jumlah saman pula secara keseluruhan kita keluarkan 39,235 saman pada 2022 iaitu meningkat berbanding 18,219 saman pada 2019 yang melibatkan saman K170A dan saman K257,” katanya.
Menurut Kamarul Zaman, bagi enam kesalahan utama sepanjang Op Selamat 18, sebanyak 26,520 saman dikeluarkan kerana melebihi had laju, lima saman memandu di lorong kecemasan, 361 saman kerana memotong di garisan berkembar, 1,884 saman potong barisan, 923 saman disebabkan langgar lampu isyarat dan 351 saman dikeluarkan kerana menggunakan alat telekomunikasi. – MalaysiaGazette