Home Nasional Penghuni gelandangan pusat transformasi semakin berkurang – Jalaluddin

Penghuni gelandangan pusat transformasi semakin berkurang – Jalaluddin

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyampaikan sumbangan duit raya kepada rakan jalanan semasa hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri bersama Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana di Taman Danau Desa, KualaLumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Jumlah penghuni di dua Pusat Transformasi Gelandangan di sini semakin berkurangan sebanyak 70 peratus apabila mereka kini sudah mampu membina kehidupan baharu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pelbagai latihan profesional dan kemahiran telah disediakan kepada golongan gelandangan itu dalam usaha memberi semangat agar mereka bangun dan bangkit semula.

Namun kata beliau, ketika ini masih terdapat sekitar 600 gelandangan yang masih tinggal di ibu kota.

“Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk membantu golongan gelandangan namun kita perlu akui ia merupakan masalah yang tidak akan berakhir.

“Namun apa yang membanggakan jumlah penghuni semakin berkurangan dan menunjukkan mereka mendapat banyak manfaat antaranya kelas jahitan dan pertanian yang disediakan di dua pusat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Transformasi Gelandangan di sini hari ini.

Ketika ini, dua pusat Anjung Kelana memiliki 15 penghuni daripada 100 kapasiti manakala Anjung Kembara mempunyai 60 penghuni daripada 200 kapasiti.

Jalaluddin menambah, kementerian bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) sentiasa komited dalam membantu golongan gelandangan di ibu kota supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Menurutnya, objektif program bina upaya adalah untuk mendedahkan kepada gelandangan kemahiran-kemahiran baru seperti asas pertanian, percetakan dan kraftangan supaya dapat memberi nilai tambah dan pendapatan baru kepada gelandangan.

Sementara itu, semua gelandangan yang diselamatkan san diletakkan di Anjung Kelana terlibat secara 100 peratus dengan program kebun bandar yang disediakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette