POKOK ketum juga dikenali sebagai pokok biak (kratom) atau nama botaninya ialah Mitragyna speciosa. Ia adalah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand. Di Thailand, pokok ini dipanggil kakuam, ithang atau thom. Daun ketum telah menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru bersalin. Daun ini boleh direbus dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, juga bagi rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan bagi merawat sakit belakang. Pokok ketum menjadi terkenal pada awal 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan. Dengan itu pokok ketum diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.
Seterusnya, pokok ketum telah dikategorikan sebagai tumbuhan yang terkawal dibawah Akta Racun 1952. Baru-baru ini, isu penanaman pokok ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa telah menjadi tajuk pendebatan dalam media masaa di Malaysia. Ia telah diperkatakan oleh banyak pihak daripada kementerian, kerajaan negeri, pihak
berkuasa, kumpulan penanam, dan juga pakar-pakar pertanian. Baru-baru ini, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, merangkap Ahli Parlimen Padang Besar, dilaporkan meminta kerajaan mempertimbangkan kebenaran menanam tanaman ketum susulan langkah kerajaan Thailand mengeluarkan tanaman itu daripada senarai dadah.
Tambah beliau lagi, penanaman ketum juga dapat meningkatkan pendapatan pekebun serta petani, seterusnya dapat membantu ekonomi rakyat dan negara yang sekian lama berhadapan masalah ekonomi sejak COVID-19 melanda negara. Selain itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar pihak kerajaan membenarkan eksport daun ketum bagi memenuhi permintaan tinggi untuk tujuan perubatan oleh syarikat farmasi di luar negara. Langkah itu bukan sahaja membantu pengusaha tanaman ketum di negara ini, malah kerajaan juga mendapat hasil menerusi cukai eksport daun itu.
Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga memaklumkan bahawa kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk meminda undang-undang tertentu sebelum keputusan berhubung perkara itu dibuat. Namun begitu, beliau akan akur terhadap sebarang keputusan kerajaan berhubung penanaman ketum bagi tujuan perubatan. Namun begitu, lain pula ceritanya apabila Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad memberikan pendapat bahawa tidak ada keperluan dari segi undang-undang untuk mengubah kebenaran menanam ketum. Beliau menambah, sekiranya ketum dapat dijual secara komersial, perlunya ada satu kawal selia yang lebih baik mengenai perkara terbabit.
Dilaporkan daun ketum khususnya yang ditanam di Kedah sangat mendapat permintaan tinggi terutama di negara jiran, Thailand kerana dikatakan gred paling baik untuk tujuan perubatan dan dijadikan pil atau minuman kesihatan. Thailand juga dilaporkan sudah mengeluarkan produk minuman ketum dalam tin serta minuman ketum juga ada dijual menggunakan mesin air atau ‘vending machine’. Tidak hairanlah sindiket penyeludupan ketum di negara ini sentiasa mencari jalan untuk menyeludup masuk daun ketum ke negara jiran menggunakan pelbagai kaedah dan laluan sama ada laut dan darat.
Faktor ini patut diambil manfaat oleh pihak kerajaan untuk menjadi pengeksport. Perkara itu sebenarnya dapat dilaksanakan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri dengan melantik mana-mana anak syarikatnya untuk membeli dan mengumpul daun ketum serta bertindak sebagai pengeksport. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bertanggungjawb dalam membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara negara. Akhir-akhir ini, penyeludupan ketum menjadi ketara terutama ke negara Thailand dengan menggunakan laluan laut di Kuala Perlis.
Hal ini disebabkan oleh permintaan yang meningkat serta harganya yang mahal terhadap bahan berkenaan. Harga pasaran yang tinggi di negara jiran sehingga mencecah RM180 sekilogram juga dilihat sebagai faktor pendorong kepada aktiviti ini, dengan disokong oleh faktor upah ‘pengangkut’ yang lumayan bagi setiap hantaran dianggarkan sekitar RM350 hingga RM800 berdasarkan berat muatan. Melalui pengkomersilan ketum ini juga, ia dapat membantu mengurangkan aktiviti penguatkuasaan dan tangkapan penyeludupan daun ketum di sempadan negara.
Terkini, dilaporkan di Malaysia terdapat kira-kira 130,000 penagih dengan 25 peratus daripadanya (36,000) diletakkan di bawah Pusat Pemulihan Penagihan Dadah Narkotik (PUSPEN). Kesan daripada lambakan penagih ini, kos kerajaan dalam menampung makan minum mereka boleh mencecah RM500 juta setahun. Hal ini juga perlu diambil kira sebelum ketum dikomersilkan. Dalam pada itu, hanya pihak kerajaan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangasaan (AADK) yang mempunyai program-program khas pemulihan bagi penyalahgunaan ketum. Dalam pada itu, antara isu utama dalam penanaman ketum adalah isu pemilikan tanah yang mana melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri. Sekarang ini, kerajaan negeri berhak menarik balik atau melucutkan hak milikan tanah jika didapati tanah yang diusahakan digunakan untuk penanaman ketum. Oleh itu, pihak kerajaan negeri perlu lebih tegas untuk setiap permohonan (geran tanah kerajaan) yang
dilakukan oleh mana-mana individu, dengan memeriksa keadaan tanah terlebih dahulu sebelum sebarang geran diluluskan.
Selain itu, pengkomersilan ketum juga perlu dilihat dari aspek Akta Kanun Tanah Negara dan Seksyen 30 Akta Racun 1952 yang mana ketum mengandungi bahan ‘psychoactive’ yang boleh menyebabkan leka dan lalai. Antara bahan psychoactive adalah mitragynine yang memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria
yang boleh menyebabkan penagihan. Bahan ini dikawal dibawah Akta Racun 1952 di bawah peraturan kawalan psikotropik. Selain itu, terdapat juga 24 bahan lain yang
terkandung didalam ketum antaranya ajmalin, corynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine. Tambahan pula, pindaan terhadap
kedua-dua akta ini adalah kerana penanaman ketum tidak salah namun untuk dipetik, proses, jual atau eksport, adalah perkara yang salah. Perkara ini menimbulkan kesukaran kerana undang-undang berkaitan tanah berada di bawah kerajaan negeri dan perlu melalui pelbagai proses dan mengambil masa yang lama.
Pokok ketum juga dilaporkan mengandungi minyak jenis Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 yang berfungsi untuk memulihkan tenaga serta kesihatan badan, mempunyai pasaran yang baik di peringkat antarabangsa. Selain itu, satu kajian di mendapati pokok ‘ketum ayam’ (Trichanthera gigantea) yang berasal dari Amerika Selatan dijadikan sumber alternatif makanan ternakan. Ketum ayam mengandungi protein yang tinggi dan mudah ditanam sementara daun segarnya boleh diberi makan terus kepada ternakan atau diproses sekaligus dapat mengurangkan kos makanan ternakan. Daunnya juga tidak beracun dan tiada antinutritif yang membolehkan protein diserap terus ke dalam badan ternakan bagi membantu mempercepatkan tumbesaran. Namun begitu, hingga kini tiada lagi kajian secara klinikal dibuat berkenaan kesan ketum ini dengan yang ada setakat ini adalah ujian praklinikal, yang mana tiada ujian dibuat ke atas manusia lagi untuk melihat kesan sampingannya.
Justeru, ketum mempunyai khasiat dan memberi manfaat kepada negara melalui pengkomersilannya, namun keburukan serta kesan negatif akibat penagihan ketum adalah lebih besar yang mesti diperhalusi dan ditangani secara bijaksana oleh semua pihak yang berkepentingan. Selain itu, pihak berwajib disarankan untuk melihat penggunaan daun ketum ini untuk jangka masa panjang dan sesuatu yang drastik boleh dilakukan terutama pada sudut manfaat perubatan dan komersial. Kajian oleh pelbagai pihak dan peringkat perlu terus digalakkan dan kerajaan boleh memberi insentif melalui agensi tertentu. Hal ini juga perlu dilihat bukan sekadar bergantung kepada akta pengawalan semata-mata. Kini, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah lebih proaktif lagi dan membuat satu anjakan pemikiran dalam pembangunan industri herbal dan berusaha mematenkan hasil kajian dan seterusnya menguntungkan negara.
Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris