KUALA LUMPUR – Seorang anggota Pasukan Gerakkan Am (PGA) terkejut apabila rumah keluarganya di belakang Sekolah Kebangasaan Bechah Keranji di Kota Bharu ditembak dengan dua das peluru senapang angin semalam.
Beliau mendakwa ia dilakukan oleh dua lelaki tidak dikenali, kata Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 pagi semasa mangsa berusia 30 tahun itu sedang tidur sebelum terdengar bunyi tembakan dari luar pagar rumahnya.
Kemudian anggota PGA itu terus keluar dari rumah sebelum satu lagi tembakan dilepaskan oleh suspek yang terkena cermin pintu depan rumah.
“Mangsa sempat melihat bayang dua individu yang tidak dikenali berada di hadapan rumahnya dan melarikan diri selepas kejadian itu.
“Pemeriksaan mendapati, cermin pintu gelangsar rumah dan cermin kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik abang ipar mangsa pecah dengan terdapat kesan lubang sebesar guli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa yang bertugas di PGA Cheras, Kuala Lumpur itu sedang bercuti dan pulang ke kampung bagi menguruskan pengebumian anak dalam kandungan isterinya yang meninggal dunia pada usia enam bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 22 Mei lalu.
Tambah Muhamad Zaki, berdasarkan laporan mangsa, kedua -dua suspek dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang angin.
Suspek juga dilihat menyuluh lampu ke arah rumah jiran yang kosong dalam jarak kira-kira 15 meter dari rumah mangsa.
Bagaimanapun, mangsa dan keluarga tidak mengesyaki sesiapa terlibat dengan kejadian itu kerana mereka tiada mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak.
Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan suspek yang terlibat. – MalaysiaGazette