Home Seni Hidup Tertarik kandungan al-Quran, profesor AS peluk Islam di Malaysia

Tertarik kandungan al-Quran, profesor AS peluk Islam di Malaysia

ohn Nash mengucap syahadah dengan Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md. Lazim di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Yuyun, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang semalam.

PULAU PINANG – Seorang profesor dalam bidang ekonomi, John Nash Houchen dari Kentucky, Amerika Syarikat (AS) memilih Islam sebagai cara hidup setelah tertarik dengan isi kandungan al-Quran.

Beliau yang berusia 56 tahun itu pernah mengajar di Universiti Winconsin telah mengkaji mengenai agama Islam sejak sekian lama terutama dari rakan-rakan rakyat Malaysia yang pernah menuntut di universiti berkenaan.

Bermula dari situ, John Nash pertama kali berkunjung ke Malaysia pada tahun 2019 untuk mengenali agama Islam selain budaya penduduk di negara ini sebelum pulang semula ke AS.

Hasratnya untuk kembali semula ke Malaysia tertangguh lebih dua tahun berikutan penularan Covid-19.

“Apabila sempadan negara dibuka, saya terus ambil kesempatan untuk kembali semula ke Malaysia. Semasa dalam penerbangan ke Malaysia, saya sempat mendengar alunan bacaan al-Quran berserta terjemaahannya.

“Hati saya semakin tertarik dengan isi kandungan al-Quran itu. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Malaysia, saya nekad dan yakin untuk memeluk Islam dengan menghubungi kenalan rakyat Malaysia yang ada untuk membantu saya,” katanya.

John Nash berkata demikian selepas mengucapkan syahadah yang secara sah menjadikan beliau seorang muslim di sini semalam.

Majlis ucapan syahadah itu dikendalikan oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md. Lazim di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Yuyun, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

MyIKUT merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membantu dan menyelesaikan pelbagai masalah golongan mualaf di negeri Pulau Pinang.

Sebaik sahaja selesai mengucapkan syahadah, Johd Nash memberitahu hatinya kini rasa lebih tenang dan tenteram.

“Perasaan tenang dan tenteram ini tidak pernah ada, iadatang tiba-tiba. Saya rasa lega,” katanya.

John Nash juga memberitahu, antara faktor beliu memilih Islam ialah kerana keikhlasan penganutnya termasuk apabila berhadapan dengan orang bukan Islam.

“Sejak mengenali ramai penuntut beragama di AS termasuk dari Malaysia, saya dapati mereka ini ikhlas dalam kehidupan termasuk ketika membantu penganut agama lain dan sebagainya.
“Dari situlah minat saya untuk mengkaji agama Islam bermula,” katanya.

John Nash

Menjawab pertanyaan, John Nash terkejut apabila mendapati proses seseorang untuk memeluk agama Islam amat mudah iaitu dengan mengucapkan syahadah dengan dihadiri beberapa orang saksi.

“Pada mulanya saya ingatkan perlu melalui pelbagai tapisan. Tapi rupanya Islam itu mudah dan tidak menyusahkan orang,” katanya.

John Nash menambah, kini beliau berhasrat untuk terus menetap dan menjalani kehidupannya di Malaysia selepas baru sahaja bersara sebagai tenaga pengajar di universiti di AS.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua termasuk MyIKUT. Selain tenang, gembira, teruja, saya kini merasakan ada kekuatan dalam diri untuk terus menjalani kehidupan yang akan datang,” katanya.

Sementara itu Penaung MyIKUT, Zolkifly Md. Lazim berkata, pihaknya menerima permintaan daripada penduduk untuk membantu John Nash memeluk Islam.

“MyIKUT akan sentiasa membantu golongan mualaf. Mereka yang telah peluk Islam kita akan pantau dan jika ada keperluan seperti bantuan, nasihat dan sebagainya, MyIKUT sentiasa ringan tulang,” katanya. – MalaysiaGazette