KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mestilah menunjukkan keikhlasan untuk membantu UMNO khususnya di Selangor sebelum diberi ruang dan peluang bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, walaupun ramai pemimpin UMNO Selangor tiada halangan untuk memberi laluan kepadanya namun Tengku Zafrul perlu mendapat kepercayaan parti terlebih dahulu.
“Sebelum seseorang itu nak buat tapak, dia mestilah menunjukkan keikhlasan dulu untuk membantu parti, sebab kita bertanding bukan atas kapasiti sendiri, saya sendiri bertanding bukan kerana diri saya tetapi kerana tiket dan kepercayaan parti.
“Sebab partilah kita boleh bertanding dan dalam pilihan raya, kita bertanding menggunakan logo parti bukannya dirinya sendiri, kena ada timbal balik kena kembali gerak kerja kepada parti dan juga penerimaan parti.
“Saya fikir ini adalah adat dalam parti,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Beliau mengulas tindakan seorang menteri Kabinet yang dikaitkan dengan Tengku Zafrul dikatakan telah menganjurkan program bersama rakyat di sekitar kawasan Kuala Selangor sejak beberapa minggu lalu.
Sebelum ini, UMNO Bahagian Kuala Selangor mengeluarkan arahan kepada pemimpin parti di kawasan tersebut supaya tidak terlibat dengan program Menteri Kewangan itu.
Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp berhubung surat daripada Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim yang memberi arahan kepada kepimpinan bahagian untuk tidak terlibat dengan program melibatkan Zafrul.
Dalam pada itu, Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar mengalu-alukan mana-mana pemimpin mahupun menteri Kabinet untuk membantu parti itu di Selangor dalam mendepani PRU15 akan datang.
Beliau tidak menafikan UMNO Selangor amat memerlukan bantuan ‘luar’ untuk kembali bangkit setelah tiga penggal tewas kepada Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH) sejak 2008 hingga kini.
“Saya sebagai pemimpin muda dan baharu, kita mengalu-alukan sebenarnya siapa pun nak membantu (UMNO) Selangor. Kalau Tengku Zafrul punya semangat dan keinginan untuk terus menyumbang kepada negara, menggunakan platform politik, tak salah dia meninjau bagaimana berkhidmat sebagai ahli politik sebenar.
“Saya menyokong kalau dia betul bersungguh-sungguh nak membantu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk merampas Selangor,” katanya.
Katanya lagi, kesediaan Tengku Zafrul untuk bersama UMNO dilihat sebagai satu gabungan baik untuk membantu memenangi sekurang-kurangnya 30 dari 56 kerusi Dewan Negeri Selangor pada pilihan raya akan datang.
“Kalau Tengku Zafrul nak bantu kita, kena bantu keseluruhan di Selangor ini, kita ada 222 Parlimen, kita ada 56 DUN. Kita tak boleh menang 56 DUN tapi kita sasarkan beberapa DUN yang boleh kita capai bagi memenangi Selangor.
“Tengku Zafrul sendiri mahu menabur khidmat bakti menggunakan platform UMNO-BN Selangor, ini satu gabungan dan ramuan baik kalau kita laksanakannya dengan berstrategi dan tersusun untuk merampas Selangor.
“Kita cuba kembalikan keyakinan rakyat dengan barisan kepimpinan yang mempunyai kredibiliti untuk menerajui Selangor dan menguasai kembali Kerajaan Negeri Selangor.
“Sekurang-kurangnya kita dapat menang di 30 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Bagaimanapun Imran menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menilai keikhlasan Tengku Zafrul dalam membantu parti sebelum diberi restu bertanding atas tiket parti itu.
“Saya sambut baik sekiranya Menteri Kewangan kita memberikan khidmat atau memberi sumbangan beliau membantu kita di Selangor.
“Maklumlah kita di Selangor ini sejak beberapa penggal lepas kita ada beberapa orang sahaja di peringkat negeri (ADUN)
“Mungkin dengan ada Tengku Zafrul ini datang ke Selangor boleh beri nilai tambah kepada UMNO Selangor.
“Kita ambil dari sudut yang positif di mana dia nak bertanding, di mana ruang untuk beliau nanti kita serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: