KUALA LUMPUR – Bahang cuaca panas yang dirasai pada ketika ini adalah fenomena biasa berlaku setiap tahun, namun orang ramai perlu menitik beratkan aspek kesihatan terutama ketika berada dalam keadaan kepanasan yang melampau.
Ini kerana, pelbagai masalah kesihatan boleh berlaku kepada semua peringkat umur yang terdedah dengan cuaca panas jika ia berterusan dalam jangka masa lama.
Doktor Kesihatan Pekerjaan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Nurul ‘Afiah Mohd Isa berkata, cuaca panas yang melampau menyebabkan seseorang individu itu kerap berpeluh sekali gus akan mengakibatkan cecair dalam tubuh badan berkurangan.
“Keadaan ini berisiko menyebabkan individu itu mudah berasa letih, kurang bertenaga, mengalami dehidrasi serta lemah otot-otot atau kekejangan.
“Namun ia berlaku secara berperingkat, individu berkenaan akan mengalami ruam panas seperti jerawat kecil dan merah.
“Oleh itu orang ramai elak daripada terdedah kepada keadaan panas serta perbanyakkan memakai krim yang mempunyai hidrogel,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Tambah Nurul ‘Afiah, peringkat seterusnya berlaku kekejangan haba sewaktu melakukan aktiviti luar atau bersukan dan individu berkenaan akan mengalami simptom seperti sakit otot dan kekejangan pada tubuh badan.
Dengan itu, individu berkenaan harus segera menghentikan semua aktiviti yang dilakukannya serta-merta dan mengelakkan diri daripada cuaca panas, mandi dengan air sejuk serta minum air secukupnya agar keadaan badan kembali stabil.
“Keadaan ini berlaku kerana badan telah mengeluarkan peluh yang banyak. Kenapa kita berpeluh dengan banyak, sebab peluh ini adalah protective mechanism yang mampu mengekalkan suhu badan agar tidak meningkat terlalu tinggi .
“Apabila kita berpeluh, haba itu akan tersejat namun panas yang berpanjangan akan menyebabkkan tekanan untuk badan, berpeluh dan ini juga akan mengakibatkan badan kita kehilangan garam dan mineral,” ujarnya.
Seterusnya, strok haba adalah peringkat akhir yang akan berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat (iaitu pada 41 darjah Celsius atau lebih) akibat terdedah kepada cuaca panas berterusan semasa menjalankan aktiviti luar atau fizikal.
Keadaan ini disebabkan badan kekurangan air dan garam galian dalam jumlah yang banyak dan ia boleh dikenal pasti menerusi beberapa gejala seperti denyutan jantung dan pernafasan menjadi cepat atau pendek mahupun tekanan darah menurun.
Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan minum air kosong secukupnya, elakkan daripada bekerja di waktu panas yang melampau, serta kurangkan minum air yang berkafein dan beralkohol.
“Air yang berkafein dan beralkohol ini akan membuatkan badan kita kering serta kerap membuang air kencing. Sekiranya kita tidak minum dengann air kosong ia akan menyebabkan dehidrasi.
“Sekiranya kerja di luar bangunan, amat digalakkan mengambil minuman isotonik yang boleh mengantikkan garam dan mineral dalam badan setelah berpeluh dengan banyak dan memakai topi serta payung sekiranya berada di bawah panas yang terik,” katanya.
Para ibu bapa juga dinasihatkan tidak meninggalkan anak sendirian di dalam kereta dan tempat parkir di bawah matahri yang terik, dibimbangi pendingin hawa kereta rosak dan boleh mengundang maut.
Dalam pada itu, apabila di dalam rumah pada waktu siang, tidaak digalakkan membuka tingkap kerana udara yang masuk dalam rumah pada waktu itu adalah udara panas dan sentiasa membuka kipas serta penghawa dingin agar keadaan tidak terlampau panas. – MalaysiaGazette