KUALA LUMPUR – Gambar menunjukkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdiri di tengah panas merupakan situasi biasa bagi perbarisan statik.
Persatuan veteran ATM (PVATM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi ahli-ahlinya, peluang menjadi sebahagian dari peserta perbarisan statik tersebut adalah satu kebanggaan dan penghormatan besar.
“Mengambil maklum beberapa gambar dan video yang viral semalam seolah-olah veteran ATM mendapat layanan tidak sepatutnya, selaku penganjur PVATM ingin menjelaskan ianya bukan majlis perjumpaan yang dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama veteran ATM.
“Ianya acara perbarisan statik yang telah dianjurkan sendiri oleh PVATM sempena meraikan usia 100 Tahun PVATM. Bagi memaknai lagi acara tersebut, PVATM telah menjemput tetamu-tetamu kehormat termasuk Menteri Kanan Pertahanan serta wakil Persatuan Veteran dari 10 Negara ASEAN,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Gambar yang tular menunjukkan peserta makan di bawah pokok pula merupakan peserta perbarisan dari PVATM Kedah yang sedang berehat di sekitar Masjid Tuanku Mizan di mana mereka menunggu waktu masuk solat Zohor sebelum majlis tahlil dan doa selamat diadakan.
“Sebenarnya sajian makan tengahhari nasi Arab bagi peserta dan penonton disediakan di Dewan Masjid Tuanku Mizan Putrajaya,” kata kenyataan yang sama.
Jamuan makanan bagi VVIP diadakan dalam Dewan Bankuet demi menghormati kehadiran tetamu jemputan dari Veteran Negara ASEAN seramai 27 orang.
“Menteri Kanan Pertahanan sendiri menyuarakan hasrat kepada Presiden PVATM untuk makan bersama dengan peserta perbarisan pada awalnya tetapi keadaan tidak mengizinkan berdasarkan kepada aturcara sambutan yang padat,” katanya.
Justeru, PVATM tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan dan kaedah undang-undang ke atas mereka yang mengeluarkan dan menularkan komen serta kritikan negatif kepada pihaknya sebagai tindakan langkah membendung dan mencegah supaya tindak tanduk sedemikian tidak berulang lagi bukan sahaja kepada PVATM malahan kepada entiti Veteran yang lain. – MalaysiaGazette