JOHOR BAHRU – Gaji, kebajikan, kadar pertukaran dan persekitaran pekerjaan merupakan antara faktor yang mendorong jururawat Malaysia memilih untuk berkhidmat di negara lain.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. Koh Kar Chai berkata, sesetengah negara menyediakan keadaan perkhidmatan yang lebih baik berbanding Malaysia.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan sebelum ini terdapat jururawat yang memilih bertugas di England dan kemudiannya negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi.
Katanya, sebagai negara jiran yang menyediakan kadar pertukaran yang menarik, Singapura juga mencuri tumpuan ramai jururawat Malaysia.
“Kemahiran bahasa yang dimiliki rakyat Malaysia juga mendorong banyak majikan di negara jiran suka menggaji rakyat kita,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.
Beliau bagaimanapun menegaskan, gaji bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan penghijrahan jururawat tetapi ada yang tertarik dengan persekitaran pekerjaan.
“Golongan pemuda mungkin berasa kecewa dengan masa depan politik dan ini mungkin mendorong mereka bekerja di luar negara,” katanya.
Walau bagaimanapun, Kar Chai berkata, tidak kurang juga petugas kesihatan yang kembali ke Malaysia selepas mencuba pekerjaan di luar negara kerana berasa persekitarannya kurang sesuai. – MalaysiaGazette