Home Utama Caj mahal e-hailing: Jangan paksa saya ambil tindakan, kata Ka Siong

Caj mahal e-hailing: Jangan paksa saya ambil tindakan, kata Ka Siong

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bercakap pada sidang media mengenai status 23 cadangan penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi amaran kepada pengendali perkhidmatan e-hailing (EHO) agar tidak berterusan mendesak kerajaan menuruti  permintaan mereka.

Menurutnya, kementeriannya telah banyak memberi kemudahan kepada EHO termasuk kelonggaran untuk mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

“Saya tidak sedap dengar apabila mereka kata MOT tidak tolong.. sekiranya EHO sukar mencari pekerja, masalah tersebut bukan tanggungjawab kementerian.

“Kalau susah cari pekerja, jangan marahkan kita. Jangan memaksa saya ambil tindakan bila tiba satu masa nanti jika tiada pilihan..tindakan kawal selia (e-hailing),” tegasnya dalam sidang medianya di sini hari ini.

Ka Siong berkata, kerajaan tidak akan melindungi EHO sekiranya berlaku perlanggaran.

Tambah beliau, adalah tidak masuk akal alasan pengusaha e-hailing kononnya pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 menyebabkan tambang industri mereka mesti dinaikkan.

Menurut beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan untuk meneliti perkara berkenaan dan siasatan berhubung tambang mahal e-hailing tersebut sedang berjalan.

“Siasatan sedang berlangsung dan sekiranya hasilnya mendapati berlakunya pelanggaran, lesen perkhidmatan e-hailing boleh digantung dan ditarik semula.

“Saya meminta pengguna tampil membuat aduan rasmi beserta bukti yang menyokong dakwaan mereka bagi memudahkan pihak berwajib menjalankan siasatan mendalam,” katanya lagi.

Beliau pada masa yang sama menasihatkan pengguna e-hailing agar membuat pilihan masing-masing secara bijak bagi khidmatyang mereka hendak guna untuk perjalanan mereka dengan pilihan terbuka disediakan di pasaran ketika ini.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan rakyat kononnya tambang perkhidmatan e-hailing meningkat hingga 400 peratus pada waktu puncak.

Perkembangan terbaharu itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna dan disifatkan tidak masuk akal.

Mereka sekali gus menggesa campur tangan kerajaan antara lain berkaitan kawal selia harga.

Setakat ini, sebanyak 28 syarikat EHO yang mempunyai lesen aktif dan beroperasi di sekitar Lembah Klang.

Menyentuh mengenai surcaj 200 peratus yang dikenakan, Ka Siong berkata, ia merupakan surcaj maksimum yang ditetapkan.

“Kalau kita lihat teksi tiada surcaj tetapi tambang asasnya adalah RM1.50 manakala e-hailing pula menetapkan tambang sekitar 70 hingga 90 sen tetapi mempunyai surcaj.

“Syarikat EHO yang beroperasi dan mengenakan caj mahal perlu bertanggungjawab terhadap rungutan pengguna dan menjawab mereka dengan langkah terbaik,” katanya.- MalaysiaGazette