ALOR GAJAH – Operasi mengalihkan bahan kimia serbuk aluminium seberat 43.1 tan yang tertumpah dari sebuah treler terbabas dalam kemalangan di Kilometer 215.6 Lebuhraya Plus (arah Utara) awal pagi tadi masih belum selesai sehingga petang ini.
Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, jika cuaca baik, pihaknya menjangka operasi mengalihkan 39 beg jumbo serbuk kimia jenis Sisa Buangan Terjadual di bawah kod bahan SW501 (Aluminium Oxide/Aluminium Dross) itu selesai pukul 5 petang.
Menurutnya, setakat pukul 3.30 petang, seramai 14 anggota bomba sudah bertungkus lumus selama 12 jam mengalihkan tumpahan itu.
Ia dilakukan dengan berhati-hati menggunakan beberapa peralatan khas memantau suhu dan bacaan gas toksik akibat kemalangan yang berlaku pukul 2.56 pagi itu.
“Operasi itu memakan masa kerana cuaca hujan menyebabkan penangguhan sementara operasi kerana serbuk kimia ini akan menjadi beracun dan memanas jika ia bertindak balas dengan air,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, semua bahan kimia berkenaan akan dihantar ke Pusat Kualiti Alam di Negeri Sembilan untuk dilupuskan.
Tambahnya, pemandu dan kelindan treler berkenaan bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette