Home Nasional Kenyataan MAFI akui kegagalannya urus industri ayam

Kenyataan MAFI akui kegagalannya urus industri ayam

Steven Sim

KUALA LUMPUR – Kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bahawa bekalan ayam di negara ini meruncing merupakan satu pengakuan kegagalannya menguruskan isu industri ayam.

Ditambah pula hanya RM50 juta daripada pemberian subsidi yang ditetapkan untuk harga siling ayam berjumlah RM730 juta sudah dibayar kepada penternak-penternak.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah ini tidak sampai 10% daripada subsidi yang dijanjikan.

Maka, katanya, tidak hairanlah pengusaha tempatan terus menerus mengadu bahawa penetapan harga siling yang tidak berpatutan berbanding kos yang ditanggung hingga menyebabkan mereka kerugian besar.

Malah, kenyataan MAFI turut mengesahkan pendedahan oleh salah seorang pengusaha ternakan ayam tempatan baru-baru ini bahawa kerajaan gagal menghulurkan subsidi yang telah dijanjikan.

”Kegagalan kerajaan menunaikan janji subsidi ayam telah menyebabkan harga ayam tetap mahal walaupun ada harga siling dan bekalan ayam berkurangan sehingga 50% di pasaran.

”Akhirnya pengusaha tempatan dan pengguna menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sim berkata, kerajaan harus segera memudahcara serta mempercepatkan penyaluran subsidi kepada sektor industri ayam pada jangka masa pendek dan melaksanakan cadangan DAP untuk mewujudkan Dana Penstabilan Harga Barang sebanyak RM5 bilion bagi berdepan kenaikan harga barang secara amnya yang kini mencecah sehingga 60%.

Dedahnya, pelbagai kajian dan rancangan telah dijalankan sebelum termasuk pembinaan sebuah kilang phosphate yang besar di Samalaju, Sarawak iaitu Malaysia Phosphate Additives (MPA) Sarawak yang melibatkan pelaburan Khazanah Nasional.

”Kilang ini sepatutnya dirancang untuk membekalkan baja dan makanan bagi sektor pertanian dan penternakan negara namun apa yang berlaku dengan projek dan rancangan ini?

”Bagi jangka masa yang lebih lama, isu sekuriti makanan negara harus diberi perhatian serius. Pengalaman pandemik selama dua tahun seharusnya dijadikan pengajaran untuk memperkukuhkan kedayatahanan negara dalam aspek sekuriti makanan terutama berdepan faktor-faktor global yang tidak menentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette