Home Nasional Lelaki didakwa belasah warga emas didakwa esok

Lelaki didakwa belasah warga emas didakwa esok

Lelaki yang mencederakan warga emas di Padang Jawa, Shah Alam pada 22 Mei lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki memukul seorang pesara kerajaan yang juga warga emas dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa dekat sini akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam esok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek warga tempatan itu akan dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Sebelum ini suspek telah direman sejak 23 Mei yang lalu bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan lengkap kes ini telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dan telah mendapat arahan untuk menuduh suspek di mahkamah pada pagi esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Individu pukul warga emas ditangkap

Pemuda pukul warga emas direman empat hari

Iqbal menambah, pada 22 Mei lalu, mangsa berusia 61 tahun yang tinggal di Padang Jawa tampil membuat satu laporan polis dia dipukul individu tidak dikenali.

“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian jam lebih kurang pukul 12 tengahari itu, mangsa memandu bersama isteri dan cucunya untuk ke Putrajaya.

“Semasa membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, suspek menaiki motosikal Yamaha Y15 yg berada di sebelah kiri kereta mangsa menjerit dan memarahi pengadu.

“Mangsa berhenti untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran namun apabila keluar dari kereta, suspek terus menendang mangsa di dada kiri.

“Suspek juga telah duduk atas badan mangsa dan menumbuk muka dan kepala mangsa bertubi-tubi menyebabkan mangsa mengalami bengkak bawah mata dan kepala serta sakit bahagian rusuk,” katanya.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama empat hari mulai 23 Mei lalu untuk membantu siasatan lanjut polis. – MalaysiaGazette