KUALA LUMPUR – Pada ketika ramai yang mengeluh tentang kenaikan harga daging ternakan seperti ayam dan khinzir, sedarkah kita bahawa harga makanan laut juga melambung?
Presiden Persekutuan Industri Perikanan Malaysia, Xie Tian Xi berkata, faktor cuaca, kadar pertukaran ringgit dan kekurangan buruh telah menyebabkan harga makanan laut meningkat 10 peratus.
Katanya, tiupan angin monsun barat daya menyebabkan ombak besar dan menenggelamkan enam buah kapal nelayan di Selangor.
“Hakikatnya, banyak nelayan tidak berani keluar laut dan menyebabkan hasil laut berkurangan antara 20 hingga 30 peratus.
“Keadaan ini menyebabkan kenaikan harga makanan laut sebanyak 10 peratus dengan peningkatan ketara melibatkan udang putih, ikan kembung dan sotong.
“Pergolakan harga bergantung kepada keadaan cuaca dan hasil tuaian nelayan apabila mereka boleh keluar laut nanti,” katanya kepada China Press.
Selain itu, akhbar tersebut turut melaporkan, industri perikanan masih berdepan isu tenaga kerja terutamanya selepas ramai pekerja asing yang pulang ke negara asal semasa pandemik.
Keadaan itu bertambah keruh apabila permohonan pekerja asing baharu sukar dilakukan pada masa ini dan menyukarkan nelayan untuk keluar ke laut.
Sementara itu, menurut pemborong, jualan hasil laut tidak menggalakkan terutamanya dalam keadaan inflasi kerana rakyat rata-ratanya melihatnya sebagai makanan mewah. – MalaysiaGazette