KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menuntut kerajaan untuk memulangkan kembali beberapa barangan mereka yang disita dari Pavilion Residences, di sini, pada 2018 atas dakwaan menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Barangan tersebut disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).
Najib menuntut tujuh utas jam tangan beliau manakala Rosmah pula mahu gelang berlian emas putih miliknya yang dipercayai bernilai lebih AS$220,000 (RM996,375) dipulangkan kembali.
Ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee berkata, kes anak guamnya itu dibicarakan secara berasingn.
“Yang Arif, ada dua perkara berlainan iaitu satu kes Najib dan satu lagi Rosmah. Isu gelang itu, kita dapat arahan jelas daripada Najib bahawa beliau tidak akan membuat sebarang tuntutan dan Rosmah akan membuat keputusan mengenainya,” katanya.
Bagaimanapun, Pendakwa Raya, Faten Hadni menolak cadangan Muhammad Shafee itu kerana kedua-kedua kes saling berkait dengan isu 1MDB.
“Kes perlu kekal didengar secara serentak. Namun di pihak pendakwaan, kami memerlukan masa untuk meminda notis usul,” hujahnya.
Dalam pada itu, peguam Rosmah, Azamuddin Abd Aziz berkata, anak guam juga perlu mengesahkan gelang itu menerusi gambar yang akan diserahkan pihak pendakwaan hari ini.
Jelasnya gelang itu turut dituntut oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan dan pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Muhammad Jamil kemudian menetapkan 8 Jun ini untuk pengurusan kes secara serentak.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memohon untuk lucut hak wang tunai, barang kemas dan aset lain bernilai RM680 juta yang disita daripada Pavilion Residences, Kuala Lumpur, milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 2018.
Obyu adalah defendan tunggal dalam samaan lucut hak utama berkaitan 1MDB manakala Najib, Rosmah dan tukang emas Lubnan, Global Royalty Trading SAL menjadi pihak ketiga. – MalaysiaGazette