Home Ekonomi Pemulihan ekonomi Malaysia berdaya tahan

Pemulihan ekonomi Malaysia berdaya tahan

KUALA LUMPUR – Paras Indeks Pelopor (IP) menunjukkan aliran menaik dengan mencapai 111.3 mata pada bulan rujukan berbanding 110.9 mata pada Februari 2022, meningkat 0.4 peratus.

IP merupakan alat digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Kenaikan ini disokong terutamanya oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (0.3%) dan bilangan syarikat baru didaftar (0.3%).

Mengulas prestasi itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pemulihan ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan.

Namun begitu, IP tahun ke tahun menurun kepada negatif 1.5 peratus pada Mac 2022 terutamanya disebabkan oleh kejatuhan dalam import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain.

Analisis lanjut daripada perspektif hala tuju menunjukkan ekonomi jangka pendek dijangka kekal berada di landasan pemulihan.

Meskipun, kenaikan harga komoditi berikutan konflik global yang berlarutan menyebabkan kemerosotan lanjut dalam kuasa beli untuk mencapai pemulihan yang lancar dan mampan.

Prestasi Indeks Serentak (IS) meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada 117.9 mata pada Mac 2022 (Mac 2021: 114.3 mata), mencerminkan aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada bulan yang sama pada 2021.

Perbandingan bulan ke bulan IS mencatatkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus.

Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan signifikan dalam kapasiti penggunaan di sektor pembuatan (0.7%) dan jumlah guna tenaga di sektor pembuatan (0.4%). – MalaysiaGazette