KOTA KINABALU – Herba tempatan Sabah berpotensi dibangunkan dalam industri
produk kecantikan dan kesihatan organik yang lebih selamat dan bebas bahan kimia
berbahaya.
Ini dibuktikan seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berjaya
menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan organik hasil penyelidikan terhadap buah
tempatan durian belanda dan sarang burung.
Menurut pakar biokimia Institut Penyelidkan Bioteknologi (IPB) UMS, Prof. Madya Dr Md
Shafiquzzaman Siddique, idea penyelidikan produk kesihatan organik tercetus pada tahun
2017 berikutan isu pengharaman produk kosmetik tempatan akibat penggunaan bahan kimia bahaya dan terlarang ketika itu.
”Produk kosmetik sintetik akan merubah kulit menjadi kelihatan cantik tapi penggunaan
jangka panjang boleh mengakibatkan kanser. Kajian Jacobs Et Al (2018) melaporkan
sebanyak 41 peratus penyebab kanser adalah bahan kosmetik.
”Justeru saya telah menjalankan penyelidikan terhadap beberapa herba tempatan Sabah dan berjaya menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan organik yang dikenali sebagai Vivify,” katanya.
.
Beliau berkata, durian belanda dan sarang burung dipilih sebagai ramuan utama
penghasilan produk tersebut.
Ini kerana durian belanda mengandungi sebatian bio-aktif yang antara lain berfungsi
sebagai anti-oksidan manakala, sarang burung mengandungi kolagen yang terkenal dengan manfaat untuk kecantikan kulit.
Md Shafiquzzaman yang diiktiraf oleh Stanford University sebagai antara dua peratus saintis terbaik dunia berkata, UMS akan terus membuat penyelidikan terhadap herba-herba tempatan di Sabah bagi mengenalpasti khasiat dan manfaatnya kepada kesihatan.
Untuk rekod, antara produk kecantikan dan kesihatan organik yang dihasilkan
Shafiquzzaman termasuklah syampu, pencuci muka, sabun mandi dan teh minuman. – MalaysiaGazette