KUALA LUMPUR – Polis menerima empat laporan kanak-kanak perempuan dicabul jurulatih wushu dengan masing-masing dua di Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, laporan di Kuala Lumpur diterima daripada dua mangsa berusia 12 dan 13 tahun yang mendakwa mereka dicabul oleh jurulatih itu di sebuah akademi di Cheras.
“Sebelum ini mangsa mendiamkan diri kerana takut dan hanya menceritakan kejadian yang menimpa diri mereka kepada ibu bapa pada April lalu.
“Ibu bapa mangsa segera tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelupusan Barang Kes JSJ Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai, Cheras, di sini, hari ini.
Tambah beliau, suspek seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 372).
ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih wushu terlibat gangguan seksual direman
Menurut Habibi, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini.
Sementara itu, Habibi memberitahu, operasi akademi wushu itu kini dihentikan sementara waktu berikutan penahanan suspek itu.
Ujarnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan jurulatih itu didapati memperdayakan mangsa dengan mengajak mangsa keluar bersiar dengan kereta selepas latihan wusyu.
“Di dalam kereta mangsa akan berdiam diri sebelum jurulatih ambil kesempatan cabul kanak-kanak itu dengan cara tanpa kerelaan mangsa, mungkin mangsa ketika itu anggap itu adalah jurulatih dan hanya membiarkan sahaja.
“Tetapi apabila dia memaklumkan insiden itu kepada ibu bapa dia, ini dianggap satu benda yang tidak betul dan serius dari segi seksual,” ujarnya.
Pada 21 Mei lalu, Ketua Polis daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan seorang suspek berusia 30 tahun yang merupakan jurulatih wushu ditahan pada 11 Mei lalu dan direman sehingga 23 Mei lalu kerana disyaki terlibat dalam jenayah cabul seorang kanak-kanak perempuan yang dilatih di akademinya antara tahun 2020 dan 2022.
“Kejadian itu berlaku antara 11 sehingga 19 Februari lalu sekitar jam 3 hingga 4 petang dan 12 hingga 1 pagi, ketika mangsa berada di rumah jurulatih tersebut di Taman Kajang Mewah,” katanya
Tambah Mohd Zaid, suspek mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum aduan polis dilakukan. – MalaysiaGazette