Home Nasional Tuduhan ramai jadi mangsa kartel mamak tak berasas – PERMIM

Tuduhan ramai jadi mangsa kartel mamak tak berasas – PERMIM

Naib Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Mohamed Azrin Anver Ali.

KUALA LUMPUR – Tindakan melabel segelintir pemilik restoran mamak sebagai kartel yang menindas peniaga baharu bukan sahaja tidak berasas sebaliknya mempunyai agenda menjatuhkan golongan India Muslim di negara ini.

Itu antara kenyataan  Naib Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Mohamed Azrin Anver Ali berhubung sebuah artikel  kononnya peniaga restoran mamak adalah kartel yang telah menjadikan usahawan atau peniaga baharu sebagai mangsa.

Beliau yang juga pemilik restoran mamak berkata, dakwaan kononnya banyak isu membelenggu peniaga baharu jika berniaga menggunakan modal tauke restoran mamak sesuatu yang melampaui batas.

“Beberapa hari lepas, ada sebuah akhbar menerbitkan dakwaan tidak bertanggungjawab dengan melabelkan masyarakat India Muslim yang terlibat dengan perniagaan restoran mamak itu sebagai kartel yang menindas golongan peniaga lain.

“Mana fakta, bukti untuk hujahan ini? Adakah benar dakwaan itu atau penulis itu sengaja menulis sesuatu seperti itu sama ada untuk kepentingan peribadi mahupun untuk melariskan bisnes jualan akhbar? Hentikan perbuatan sia-sia seperti ini kerana umum juga sudah bijak dalam mentafsir semua isu malah banyak lagi maklumat boleh didapati dengan lebih cepat dalam media sosial.

“Untuk makluman masyarakat India Muslim mempunyai sejarah tersendiri di negara ini malah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa golongan ini juga telah menjadi sebahagian daripada tunjang perkembangan ekonomi di negara ini.

“Kami telah berusaha siang malam tanpa kenal erti susah dalam memajukan perniagaan restoran mamak yang rata-ratanya kekal untuk beberapa generasi malah terkenal dalam kalangan semua rakyat Malaysia sebagai lokasi makan terkenal jadi persoalan saya adakah penulis atau akbar itu sedang melakukan cubaan dalam menutup isu lain dengan membuat dakwaan seperti ini?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohamed Azrin mempersoalkan sama ada dakwaan itu satu percubaan menjadikan golongan mamak sebagai kambing hitam untuk agenda tertentu.

Menurutnya, daripada mengeluarkan kenyataan ‘sampah’ seperti itu adalah lebih bermanfaat seandainya terdapat cadangan bernas mahupun inisiatif dalam membantu rakyat yang sedang di himpit dengan isu kenaikan harga barang serta kesukaran mendapatkan bahan mentah.

“Alangkah baiknya jika ada kenyataan positif dan membina yang mendidik rakyat dalam membantu diri keluar dari belenggu isu-isu seperti ini dan bukannya menulis sesuatu yang menghina, menjatuhkan maruah bangsa atau komuniti tanpa sedikit pun bukti asas, jauh dari realiti sebenar.

“Cubalah banding sedikit dengan negara-negara maju yang lebih positif dalam merencanakan diri dan negara dalam membawa kemajuan, membantu rakyat dan tidak asyik-asyik main isu perkauman. Sekiranya mahu berjaya, tolonglah berubah,” tegasnya. – MalaysiaGazette