KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun tampil memberi penjelasan mengenai isu tudung dan umrah yang dibangkitkan seorang selebriti baru-baru ini.
Menurutnya, ramai yang salah faham mengenai hukum memakai tudung di mana ia merupakan tuntutan wajib kepada seorang wanita.
“Harus faham, hukum menunaikan umrah ialah sunat muakad iaitu sunat yang amat dituntut namun hukum menutup aurat ialah wajib.
“Ada juga sebahagian yang merasakan tidak mengapa jika tak menutup aurat, yang penting hati mereka baik. Jika kita ke kedai buah, mana yang kita akan pilih, buah yang luarnya baik atau yang sudah dipenuhi lebam dan busuk?
“Apabila pilih yang luarnya baik, ada kemungkinan isinya segar atau rosak, tetapi luar yang buruk sudah pasti isinya juga telah rosak,” katanya menerusi Facebook.
Walaupun tidak menamakan mana-mana individu dalam hantaran berkenaan, namun ia dipercayai ditujukan kepada Ifa Raziah susulan kenyataannya berhubung perkara itu baru-baru ini.
Dalam pada itu, Asma turut meluahkan kebimbangan terhadap tindakan Ifa yang dianggap boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.
Justeru, beliau menasihati Ifa agar berhati-hati dengan ucapan serta apa yang diberi ketika ini khususnya kesenangan kerana bimbang ia musibah yang tersembunyi.
“Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasik iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.
“Tanda istidraj ke atas seseorang itu adalah Allah membiarkan dia dalam kemaksiatan yang dilakukan dan tidak disegerakan azab ke atasnya,” katanya.
Tambahnya, Allah berhak memberi apa sahaja kepada sesiapa yang Dia mahukan termasuk yang mensyirikkan-Nya dan bermaksiat kepada-Nya.
Namun katanya, perbezaan besar adalah sama ada apa yang diberi itu dengan kasih sayang atau murka-Nya.
“Alhamdulillah, peluang untuk menunaikan haji atau umrah itu memang direzekikan kepada mereka yang terpilih, namun kayu ukur yang lebih penting ialah apa perubahan yang berlaku pada diri kita selepas pulang daripada haji atau umrah?
“Adakah akhlak dan ibadah kita lebih baik, sama sahaja atau semakin buruk? Allahu Akbar,” katanya.
Beliau berkata, dengan teguran ini bukan bermaksud untuk mencari populariti tapi atas dasar tanggungjawab sesama Islam bagi membetulkan perkara yang salah.
“Jangan salah faham, orang yang menegur bukan buat kerja Tuhan, tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam.
“Saya percaya ramai yang bimbangkan keadaan masyarakat dan generasi anak-anak kita yang mudah sekali dirosakkan minda dan akhlak mereka oleh segelintir selebriti, influencer, founder produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial.
“Para pendakwah, orang awam termasuk saya yang menegur bukan nak tumpang populariti sesiapa atau nak kejar rating.
“Popular dan pengaruh bukanlah satu kebanggaan atau anugerah, sebaliknya hanya alat dan amanah untuk digunakan kepada jalan mengajak kebaikan atau mencegah kemungkaran. Kita akan dipertanggungjawabkan kelak,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Ifa menempelak mana-mana individu yang menegurnya supaya menutup aurat.
Bagi Ifa, tiada guna kalau menutup aurat namun meninggalkan perkara wajib seperti solat. Apatah lagi kalau sekadar menutup aurat tetap tidak berzikir dan mulut sentiasa membuat fitnah.
Ifa turut menegaskan walaupun dirinya tidak menutup aurat namun Allah telah menjemputnya sebanyak tiga kali ke tanah suci. – MalaysiaGazette