Home Nasional Juruteknik mengaku tidak bersalah pukul warga emas

Juruteknik mengaku tidak bersalah pukul warga emas

Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Soh merupakan seorang juruteknik syarikat automotif mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang warga emas dengan sengaja di Padang Jawa selepas dibawa oleh pegawai polis di Mahkamah Majistret, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2022.

SHAH ALAM – Seorang juruteknik syarikat automotif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang warga emas dengan sengaja di Padang Jawa dalam satu kejadian pada 22 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Soh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, 24 pada 22 Mei 2022 di siar kaki sekitar Padang Jawa di sini dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zainul Din Hussein.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Emeetha Kaur menawarkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi.

Bagaimanapun peguam Abi Mursyidil Awal memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat automotif hanya mempeloheh pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan.

Selain itu, tertuduh juga mempunyai tanggungan ibu bapa di kampung dan memberi nafkah setiap bulan tanpa gagal.

Tambahan pula, tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan wang jaminan hanya untuk menjamin kehadiran pemuda itu di mahkamah.

Sementara itu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, kes itu sudah menjadi tular di media sosial dan jika ia terus dibicarakan oleh, ia dikhuatiri akan jadi prejudis dan mengganggu keadilan tertuduh.

Menurut Khairul Azam, kes viral itu tidak dibuat oleh tertuduh dan ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan di seluruh dunia.

“Tidak wajar kes viral ini menjadi beban dan mempengaruhi kes penghakiman tuan.

“Berkaitan tidak ganggu saksi… Mangsa terlibat merupakan seorang yang berpengaruh di satu kawasan kejiranan.

“Selepas itu tertuduh dibelasah di kejiranan beramai-ramai. Adalah mustahil tertuduh kembali ganggu saksi,” katanya dalam prosiding itu, hari ini.

Setelah mempertimbangkan hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Muhammad Syafiq juga mengenakan syarat tambahan yang mana tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 13 Julai 2022 sebagai tarikh sebutan kes itu dan serahan dokumen.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan bahawa tiada keperluan untuk “gag order” dan tiada arahan kepada pihak media. – MalaysiaGazette