GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang kini sedang bekerjasama dengan pakar perubatan serta agensi berkaitan bagi mencari mekanisme membantu mereka yang mengalami masalah gangguan emosi hingga menjadikan Jambatan Pulau Pinang sebagai tempat menamatkan nyawa.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, perbincangan itu digerakkan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh bersama beberapa pertubuhnan bukan kerajaan (NGO).
“Kita percaya daripada perbincangan itu mampu menghasilkan cara terbaik untuk menangani isu jambatan dijadikan tempat untuk membunuh diri.
”Mungkin dengan cara tidak menghebahkan kes-kes sebegini adalah lebih baik kerana ia mungkin mencenderungkan seseorang itu untuk bertindak bunuh diri.
“Kemungkinan juga mangsa berfikiran orang lain boleh melakukannya mengapa bukan saya? Jadi kita tak mahu trend ini berterusan,”memetik kenyataan di Facebook rasminya.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, negara tertentu telah mengubah jambatan mereka daripada dijadikan tempat membunuh diri dengan kaedah pemasangan alat tertentu.
“Jadi itu boleh dijadikan contoh buat negara dalam menangani isu bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang,” jelas beliau. – MalaysiaGazette