KUALA LUMPUR – Jabatam Kesihatan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan lebih agresif menangkap anjing liar selepas kakitangannya lengkap menerima tiga dos vaksin antirabies baru-baru ini.
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar berkata, MBSJ mempunyai 20 kakitangan yang terlibat dalam kerja-kerja tersebut.
”Mereka akan turun padang bagi membantu menangkap dan mengesan lebih banyak anjing liar atau terbiar di sekitar kawasan Subang Jaya,” katanya.
Pemberian suntikan antirabies itu dibuat susulan kes kematian dan jangkitan di kawasan pentadbiran MBSJ.
Johary berkata, setakat ini sampel yang diambil daripada anjing dan kelawar yang ditangkap tidak menunjukkan positif rabies.
Anjing yang ditangkap terutama dalam lingkungan 10 kilometer radius dari lokasi kes kematian akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pelupusan dan kajian.
Pada 10 April lalu, seorang lelaki berusia 39 tahun dari SK6/1 Taman Bukit Serdang, Subang Jaya meninggal dunia akibat rabies, manakala seorang warga emas berusia 85 tahun dari Kuala Langat turut dijangkiti virus itu. – MalaysiaGazette