MELAKA – Melaka digesa meneliti semula dan membatalkan tujuh projek ‘gajah putih’ yang dirancangkan di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ).
Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong turut mempersoalkan manfaat ketujuh-tujuh projek berkenaan yang didakwa merugikan setelah beliau meneliti pelan tindakan koridor ekonomi berimpak tinggi itu yang dilancarkan pada April 2021.
Tujuh projek berkenaan adalah Menara Ikonik M-WEZ setinggi 200 meter, pintu gerbang “Selamat Datang”, 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta, M-WEZ Sky Wheel, chalet atas air, puluhan pejabat dan kondomium mewah dan terusan air ala Venice.
“Setelah meneliti blueprint (pelan tindakan) tersebut, saya dapati pelbagai projek yang dicadangkan tersebut berisiko menjadi ‘gajah putih’, jadi adakah projek-projek sebegini akan memberi manfaat kepada rakyat?
“Contohnya, cadangan untuk membina 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta adalah tidak masuk akal sedangkan sebanyak itu boleh digunakan untuk projek tebatan banjir dan agro-makanan yang jauh lebih bermanfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, berkata, tidak dinafikan dalam blueprint M-WEZ terdapat beberapa elemen yang baik seperti transit-oriented development (TOD), taman rekreasi, dan bandar pintar.
“Cadangan ini harus diutamakan dan boleh dilaksanakan tanpa perlu tujuh projek ‘gajah putih’ M-WEZ ini.
“Melaka mempunyai pesisir pantai yang amat indah termasuklah warisan sejarah dan kebudayaan yang unik, jadi kerajaan Barisan Nasional (BN) seharusnya menggunakan keunikan ini dan bukan membazirkan wang terhadap projek-projek gajah putih di bawah M-WEZ,” katanya.
Beliau turut memberi contoh bagaimana Melaka BN juga pernah melancarkan projek Melaka Gateway pada tahun 2014 yang dikatakan boleh membawa masuk pelaburan berpuluh-puluh billion dan menjana 40,000 peluang pekerjaan.
“Hari ini, projek tersebut bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’ dan telah menyebabkkan pencemaran yang teruk.
“Hakikatnya MWEZ merupakan projek tambakan laut yang terbesar di Malaysia seluas 25,000 ekar dan sepanjang 33 kilometer pesisir pantai negeri dan ini memberi kesan yang sangat besar kepada kemapanan alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette