Home Politik Tinggalkan parti, Bersatu bincang tindakan terhadap Zuraida – Hamzah

Tinggalkan parti, Bersatu bincang tindakan terhadap Zuraida – Hamzah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas selesai menghadiri ke Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Langkah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk tindakan selanjutnya.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindak tanduk Zuraida untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah dikesan sebelum ini.

Katanya, surat tunjuk sebab juga telah diberikan kepada Zuraida untuk dijawab dalam tempoh dua minggu.

“Dia minta supaya saya bawa perkara ini ke Mesyuarat Lembaga Disiplin…tapi, lepas dua hari surat ini dikeluarkan dia buat kenyataan bahawa dia menyertai Parti Bangsa Malaysia…Jadi, kita faham-faham sajalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah terbuka Aidilfitri Imigresen 2022 di sini, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Indera Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, Zuraida bukanlah seorang ahli yang aktif dalam Bersatu dan beliau sering tidak hadir dalam mesyuarat-mesyuarat parti.

Tambahnya, perkara itu bukanlah sekali tetapi sudah lebih daripada enam kali.

“Dalam Mesyuarat Agung MPT pun dia tidak hadir…itu menunjukkan bahawa bagi saya ia hanya untuk diri dia sendiri (sertai Bersatu) sahaja dan bukannya untuk parti.

“Kita nak semua orang faham bahawa kita beri mereka peluang bukan sahaja kepada Zuraida tapi kepada ramai orang, sama ada mereka mahu berjuang untuk negara atau untuk apa sahaja.

“Jadi bila mereka dah sertai parti mereka kena ikut agenda dan perjuangan parti,” ujarnya.

Terdahulu hari ini, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mengesahkan meinggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan yang mendalam selepas beliau melihat politik negara dan hala tuju masa depan politiknya.

Sementara itu, Hamzah berkata, cadangan untuk melantik beberapa ahli Bersatu menjadi pimpinan di peringkat Kabinet adalah tanggungjawab presiden parti.

Katanya, ia juga perlu dipersetujui oleh Perdana Menteri berdasarkan jumlah ahli-ahli parti yang akan diambil untuk menyertai Kabinet.

“Maka bermakna kalau dia digugurkan, tempat itu akan digantikan cadangannya oleh presiden parti untuk mencari seorang lagi ahli parti untuk menjadi menteri mewakili Bersatu,” tambahnya. – MalaysiaGazette