NEW YORK – Harga minyak susut sedikit pada awal dagangan Asia pada hari Jumaat, selepas melonjak ke paras tertinggi dua bulan pada sesi sebelumnya apabila pelabur memberi tumpuan kepada tanda-tanda bekalan global yang ketat.
Sementara itu, pembantu pemimpin utama Hungary berkata, negara itu memerlukan 3-1/2 hingga 4 tahun untuk beralih daripada minyak mentah Rusia dan membuat pelaburan besar untuk menyesuaikan ekonominya dan ia tidak dapat menyokong cadangan sekatan minyak Kesatuan Eropah sehingga ada perjanjian ke atas semua isu.
Suruhanjaya Eropah bulan ini mencadangkan sekatan baharu terhadap Rusia kerana menceroboh Ukraine tetapi berkata, mereka memerlukan sokongan sebulat suara daripada semua 27 negara anggota blok.
Hungary sangat bergantung pada import minyak Rusia melalui saluran paip, setakat ini telah disekat oleh Moscow.
Niaga hadapan minyak mentah Brent turun AS$0.11 kepada AS$117.29 setong pada 0:08 GMT.
Manakala niaga hadapan minyak mentah WTI untuk penghantaran Julai turun AS$0.19 sen kepada AS$113.90 setong.
Harga telah meningkat kira-kira 50 peratus setakat tahun ini.
OPEC+ bersedia untuk berpegang pada perjanjian pengeluaran minyak tahun lepas pada mesyuarat 2 Jun ini dan meningkatkan sasaran pengeluaran Julai sebanyak 432,000 tong sehari, enam sumber OPEC+ memberitahu Reuters.
Maklumat itu sekali gus menolak gesaan Barat untuk kenaikan lebih pantas untuk menurunkan lonjakan harga. – Reuters