Home Nasional Lima kampung Pulau Tioman dipasang gentian optik

Lima kampung Pulau Tioman dipasang gentian optik

Lawatan kerja pihak SKMM di Pulau Tioman bagi meninjau perkembangan pemasangan gentian optik di pulau tersebut baru-baru ini.

PEKAN –  Lima buah kampung utama di Pulau Tioman kini telah dipasang gentian optik bagi menjadikan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi.

Kelima-limanya adalah Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Air Batang, Kampung Salang dan Kampung Genting.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakharuddin Ariff berkata, pemasangan tiga lagi rangkaian gentian optik dari Kampung Genting akan disambung terus ke Kampung Mukut melalui Kampung Sarang Burung pula dijangka siap penghujung suku pertama 2023.

“Pulau Tioman akan diliputi sepenuhnya dengan rangkaian gentian optik yang dijangka siap pertengahan tahun 2023 ini selepas pelaksanaan projek gentian optik Kampung Mukut iaitu kampung paling jauh di pulau ini akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

“Dengan siapnya semua inisiatif ini, perkhidmatan komunikasi tanpa wayar di kampung-kampung berkenaan akan bertambah baik dengan perkhidmatan internet talian tetap yang berkelajuan tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Fakharudin, inisiatif tersebut  sekaligus membawa impak positif dalam kemajuan sosio ekonomi masyarakat di pulau tersebut.

Difahamkan kesemua lapan kampung sekitar Pulau Tioman telah mempunyai menara telekomunikasi dan bakal menjadikan pulau peranginan itu antara pulau yang mempunyai liputan komunikasi yang terbaik dalam negara.

Katanya baru-baru ini Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multi Media, Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman, Datuk Seri Johari Mohd Hussin bagi memberi penerangan tentang inisiatif yang akan dan sedang dilaksanakan.

Untuk rekod, projek rangkaian gentian optik di Pulau Tioman  bermula sejak September 2021 merupakan sebahagian daripada pelaksanaan pelan JENDELA yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negeri Pahang. – MalaysiaGazette