Home Nasional Perlawanan Persahabatan Antarabangsa: Polis tingkat kawalan stadium

Perlawanan Persahabatan Antarabangsa: Polis tingkat kawalan stadium

Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Bolasepak di antara Malaysia dan Brunei yang dijadualkan berlangsung pada 9 malam ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kawalan ketat dilakukan di stadium tersebut yang berkapasiti penonton seramai 85,000 orang.

“Langkah itu bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin dan selamat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kawalan lalulintas dan tugasan keselamatan akan bermula pada jam 6.30 Petang,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, pihak polis juga akan mengetatkan kawalan keselamatan pada perlawanan yang akan datang dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 2022 dan Kelayakan AFC Asian China Cup 2023 yang dijadualkan bermula 8 Jun 2022 sehingga tamat perlawanan kumpulan E.

Kesemua perlawanan berkenaan akan turut berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Ujarnya, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan rapi akan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium ke atas penonton.

“Petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa penonton dan penonton yang tidak lengkap bervaksin tidak dibenarkan memasuki stadium untuk perlawanan tersebut.

“Penonton juga tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium antaranya mercun, bunga api atau suar; topi keledar; laser, mancis atau pemetik api; sebarang objek tajam (besi, Kayu ); senjata seperti parang dan lain-lain; minuman keras; payung atau tongkat.

“Polis akan mengambil tindakan yang tegas sekiranya terdapat penonton melanggar arahan yang telah ditetapkan mengikut peruntukan undang-undangĀ  sedia ada,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, polis juga akan memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai yang menuju ke stadium, juga yang berada di sekitar lokasi perlawanan.

Untuk itu, orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil, mengelakkan melalui jalan-jalan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil jika tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak.

“Sila mematuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas; pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalulintas dan pengguna jalan raya dinasihati supaya mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak ansur semasa memandu kenderaan.

“Penonton juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga penjarakkan sosial dan memakai pelitup muka serta menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sewaktu mahu pun selepas perlawanan tersebut,” nasihatnya. – MalaysiaGazette