Home Utama Sudah ada hak bunuh buaya tapi kenapa tak buat – Wan...

Sudah ada hak bunuh buaya tapi kenapa tak buat – Wan Junaidi

Buaya jenjulung yang terdapat di Zoo Negara. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kewujudan buaya yang terlalu banyak di Sarawak hingga kerap menyerang manusia membimbangkan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar.

Beliau mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak mengawal populasi haiwan tersebut meskipun Malaysia kini sudah berada dalam Jadual Dua Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Gauna Liar (CITES).

Menurutnya, Sarawak telah berjaya mengeluarkan negeri itu daripada Jadual Satu CITES beberapa tahun lalu bagi mengawal populasi haiwan itu susulan kebimbangan bilangan buaya yang terlalu banyak.

Katanya, berada dalam Jadual Dua CITES memberikan hak kepada pihak berkuasa sesebuah negara untuk menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik.

Tujuannya bagi mengurangkan jumlah haiwan pemangsa tersebut  tetapi tidak sampai ke peringkat menyebabkan spesis itu pupus.

“Biar pun sudah berada dalam Jadual Dua kita masih tidak mengawal populasi reptilia ini hingga serangan berlaku di bandar yang terletak di kawasan pedalaman.

“Dengan jumlah buaya yang banyak sudah pasti selagi adanya saliran air, longkang, parit, sungai dan kuala pasti akan ada buaya dan adanya mangsa.

“Perkara ini membimbangkan saya kerana apabila tiada tindakan yang boleh mengurangkan jumlah buaya, ia memberi kesan kepada apa yang diputuskan CITES ketika bersidang di Johannesburg, Afrika Selatan pada tahun 2016,” katanya.

Wan Junaidi berkata, jumlah buaya di negeri itu kini menyamai bilangan yang terdapat sebelum tahun 1960-an dengan buaya membiak terlalu banyak dan boleh dijumpai di merata-rata tempat.

Dalam pada itu Wan Junaidi juga ingin mengetahui sama ada terdapat undang-undang dalam pengawalan buaya yang membolehkan anggota haiwan yang dibunuh itu dijual.

Katanya, dengan cara itu ia dapat memberikan pulangan kepada masyarakat setempat seperti yang dikehendaki oleh CITES.

“Semua pihak mengetahui bahawa keuntungan melibatkan industri kulit buaya di peringkat global menjangkau puluhan bilion tahunan yang jelas menunjukkan ia mendapat permintaan tinggi.

“Manakala daging buaya juga mendapat permintaan dari negara asing hingga mencecah ribuan tan tahunan.

“Melihat kepada pulangan yang besar, pihak tempatan termasuk penduduk perlu diberikan peluang untuk menceburkan diri dalam industri dengan kawalan dan bimbingan daripada pihak berkuasa supaya tidak bertentangan dengan undang-undang,” tambahnya.

Wan Junaidi mengulas kejadian serangan buaya yang semakin kerap berlaku di seluruh Sarawak termasuk dua kejadian terbaharu.

Kejadian pertama melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kampung Nyambut, Telaga Air, Kuching pada Sabtu lalu.

Manakala kejadian kedua melibatkan lelaki berusia 56 tahun iaitu Sebarang Bingkok di Sungai Ahong, Kampung Kangka, LUndu pada Khamis lalu.

Katanya, jika perkara tersebut tidak ditangani secara holistik akan menyebabkan pertembungan manusia dan buaya akan berlaku semakin kerap.- MalaysiaGazette