Home Nasional 51 PATI ditahan imigresen dalam serbuan di Meru

51 PATI ditahan imigresen dalam serbuan di Meru

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia dibawa menaiki trak dalam satu operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Bukit Raja, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 27 MEI 2022.

KLANG – Seramai 708 warga asing diperiksa oleh anggota Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Jalan Pasar Baru, Meru, Klang, malam semalam.

Daripada jumlah itu, 51 orang PATI dari beberapa negara jiran ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen membabitkan 23 warga Bangladesh, Indonesia (2), Myanmar (14), India (8).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, baki 637 PATI yang diperiksa adalah pemegang kad perlindungan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media ketika mengadakan satu operasi menahan pendatang tanpa izin (PATI) di Pasar Bukit Raja, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 27 MEI 2022.

Jelas Hamzah, serbuan yang bermula kira-kira jam 8.30 malam itu juga dilakukan bagi mencari baki 60 pelarian Rohingya yang merusuh di Kem Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 20 April lalu.

Tambahnya, serbuan sedemikian di seluruh negara akan terus dilakukan sehingga baki migran yang lolos dari kem tersebut dijumpai.

“Sesiapa sahaja yang didapati melindungi mereka (pelarian) itu, kita akan tahan individu itu kerana sedang melakukan kesalahan”

“Untuk operasi ini, kita akan tahan dahulu dan buat siasatan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih” kata Hamzah ketika ditemui selepas operasi serbuan PATI di Jalan Pasar Baru, di sini, semalam.

Operasi serbuan tersebut melibatkan seramai 272 kekuatan warga JIM dari ibu pejabat jabatan itu, cawangan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka.

Turut hadir ke operasi tersebut, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengarah Imigresen Selangor, Dr Muhammad Syahmi Jaafar dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin.

Usaha itu juga dikuatkan lagi dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan juga Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM).

Menurut beliau, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 ATIPSOM. – MalaysiaGazette