Home Nasional Bekalan ikan negara mencukupi – Jabatan Perikanan

Bekalan ikan negara mencukupi – Jabatan Perikanan

Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI, 10 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekalan ikan bagi keperluan dalam negara adalah mencukupi, namun apa yang berlaku pada masa ini disebabkan peningkatan permintaan akibat pembelian panik susulan laporan mengenai krisis makanan.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Mohd Sufian Sulaiman berkata, kekurangan bekalan serta harga ikan yang tinggi adalah isu global, akan tetapi Jabatan Perikanan sentiasa memastikan sumber bekalan itu mencukupi.

“Janganlah membuat pembelian panik kerana dari segi penternakan dan tangkapan ikan memang mencukupi. Sila buat pembelian secara biasa,” katanya kepada pemberita di pelancaran ‘Kempen Jom Makan Ikan Air Tawar Peringkat Negeri Selangor’ di sini hari ini.

Kempen Jom Makan Ikan Air Tawar 2022 merupakan usaha Jabatan Perikanan menggalakkan masyarakat mengguna ikan air tawar dalam menu masakan harian mereka, sekali gus akan meningkatkan permintaan dan pengeluaran ikan air tawar.

Kempen hari ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah, di mana kempen ini merupakan kesinambungan di peringkat negeri selepas dilancarkan pada 24 Mac lalu oleh Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. – Bernama