Home Utama Bekas anggota ATM tinggal dalam kereta Volvo dapat perhatian PM

Bekas anggota ATM tinggal dalam kereta Volvo dapat perhatian PM

KUALA LUMPUR – Nasib pesara tentera yang dikatakan tinggal di dalam sebuah kereta sejak kira-kira 20 tahun lalu, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang diwakili Setiausaha Politiknya, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad melawat bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia Mohd Redzuan Abdullah, 60, di belakang bangunan kedai serbaneka di Taman Sungai Besi di sini, hari ini.

Prihatin dengan nasib Mohd Redzuan atau dikenali sebagai Pak Wan, Syed Mohd Fazmi berkata, sebuah rumah transit akan diberikan dalam masa terdekat, hasil kerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kita akan bantu meringankan beban Pak Wan untuk pindah ke kawasan dan penginapan yang lebih selesa. Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera juga hadir untuk membantu dalam proses pendaftaran, supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada Pak Wan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat bekas tentera itu yang turut disertai Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, dan wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera.

Pak Wan yang berasal dari Perak dan berkhidmat selama 17 tahun dalam ATM, bersyukur apabila menerima bantuan daripada kerajaan.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri dan  semua yang membantu memberikan rumah serta prihatin dengan nasib saya,” katanya.

Pesara tentera yang pernah berkhidmat di unit semboyan itu berkata, dia menyara kehidupannya dengan membaiki kenderaan di kawasan sekitar Sungai Besi, dan kereta Volvo yang menjadi ‘kediamannya’ selama 20 tahun itu diberikan pelanggannya. – Bernama