SEBERANG PERAI – “Masalah kekurangan ikan yang berlaku sekarang adalah disebabkan kelemahan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),”.
Demikian kata bekas Pengerusi LKIM, Mohd Faiz Fadzil ketika diminta mengulas pendedahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa LKIM tidak membuat simpanan ikan sejuk beku disebabkan masalah birokrasi dalaman kerajaan yang berlanjutan.
Mohd Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, kegagalan kerajaan dalam memastikan aset dan mesin yang diperlukan seperti peti simpanan sejuk beku dijaga serta diselenggara dengan baik turut menyebabkan negara berdepan masalah ini.
“Masalah kekurangan ikan yang berlaku pada ketika ini berpunca daripada pengurusan dan pengendalian agensi kerajaan yang terlibat sehingga memberi kesan kepada pengguna.
“Malah, pendedahan yang dibuat Pengerusi LKIM itu sangat memalukan kerajaan kerana semua isu yang timbul sejak sekian lama adalah dibawah tanggungjawab agensi kerajaan berkaitan dan ia sepatutnya diatasi segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Pulau Pinang di Permatang Pasir di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Datuk Roslan Ahmad.
Tambah Mohd Faiz, karenah birokrasi sebegini tidak patut timbul kerana pengakhirannya akan membebankan rakyat.
“Kita ada menteri dan dua timbalan dalam menguruskan hal ini namun ia gagal ditangani dengan baik susulan tiada tindakan proaktif diambil di peringkat awal,” ujar beliau.
ARTIKEL BERKAITAN
Kelemahan sistem pengurusan punca bekalan ikan berkurangan – LKIM
Terdahulu media tempatan melaporkan masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah dikenal pasti sebagai punca kekurangan bekalan ikan di negara ini.
Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kelemahan tersebut jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kekurangan bekalan ikan terus berlarutan. – MalaysiaGazette