Home Politik Ahli pilih Dr. Sathia jadi Ketua Cabang PKR Hulu Selangor

Ahli pilih Dr. Sathia jadi Ketua Cabang PKR Hulu Selangor

Dr Sathia Prakash Nadarajan.

HULU SELANGOR – Seperti jangkaan, pengasas SP Care Group, Dr. Sathia Prakash Nadarajan memenangi perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Hulu Selangor mengalahkan peyandangnya, June Leow Hsiad Hui.

Hasil keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menerusi laman web wwww.pemilihankeadilan2022.com.

Dr. Sathia memperoleh sebanyak 1,903 undi manakala June Leow yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor mendapat sebanyak 1,803 undi.

June Leow

Manakala satu lagi calon, Datuk Azizan Zakaria hanya mendapat 161 undi.

Bukan sahaja Dr Sathia menang sebaliknya hampir kesemua barisannya kepimpinannya juga menang dalam pemilihan PKR 2022-2025 Cabang Hulu Selangor kali ini.

Persaingan itu dikatakan antara yang bersejarah kerana ini kali pertama Dr Sathia bertanding manakala June Leow pula sudah menjadi ketua cabang selama dua penggal.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dr Sathia Prakash Ketua Cabang Hulu Selangor baharu?

Selain itu, persaingan kali ini agak sengit selepas pemilihan secara fizikal yang sepatutnya diadakan minggu lepas terpaksa ditangguh sehingga semalam memandangkan berlaku isu teknikal antara June Leow dan Jawatankuasa Kuasa Pemilihan (JPP) kawasan itu.

Ketika MalaysiaGazette menghubungi Dr Sathia, beliau melahirkan rasa terharu dengan kemenangannya hari ini yang menggunakan tanda pagar #BangkitHuluSelangor dalam kempennya.

“Saya seperti hilang kata-kata, terharu dan sedikit emosi. Terima kasih untuk sokongan semua terutamanya pengundi PKR di Hulu Selangor. Sokongan ini juga bukan dalam kalangan mereka dalam parti sebaliknya juga penduduk setempat.

“Sememangnya mandat dan kepercayaan ini akan saya gunakan sehabis baik, langsung tidak sia-siakan ia sebaliknya impian, visi dan misi untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai kosmopolitan itu akan direalisasikan.

“Slogan dan motto saya dan pasukan bukanlah sesuatu yang kami perah otak, bukan kami cipta sebaliknya itulah suara warga Hulu Selangor yang hendakkan perubahan kuasa, yang mahu sesuatu yang nyata dan bukanlah slogan retorik. Kemenangan kami itu adalah manifestasi suara mereka.

“Kepada semua, terima kasih tidak terhingga. Sama-samalah kita gemilangkan bumi Hulu Selangor yang kita sayangi ini,”katanya.

Dalam pada itu, Dr. Sathia Prakash atau lebih mesra dengan panggil DRSP mahu semua yang bertanding supaya tidak berkecil hati  sebaliknya bersama-sama bekerjasama untuk agenda yang lebih besar selepas ini.

“Kita ada agenda reformasi yang berpaksikan perubahan nyata untuk rakyat. Rakyat Hulu Selangor sudah bersuara, kita perlu realisasikan suara mereka. Buang yang keruh, ambil sahaja yang jernih. Kita semua satu keluarga,” ujarnya.

Pemilihan PKR kali ini juga dipecayai menyaksikan peratusan mengundi yang rendah dengan kurang 13 peratus daripada 1.1 juta ahlinya mengundi secara fizikal atau dalam talian.

Terdahulu, JPP dilaporkan berkata, pemilihan parti sudah tamat dan keputusan rasmi akan diumumkan dalam Kongres PKR pada 25 Jun ini manakala keputusan tidak rasmi akan disiarkan di laman web parti hari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dr Sathia Prakash sertai politik, tanding Ketua Cabang PKR Hulu Selangor