Home Seni Hidup Faktor cuaca halang misi KAME 2022 tawan Everest

Faktor cuaca halang misi KAME 2022 tawan Everest

(Dari kanan) Hawari, Pragash,Jack, Lakpha Rangdu Sherpa (ketua malim) dan Awang Askandar bersedia di Kem 2 sebelum memulakan pendakian ke Everest.Foto ihsan Misi Everest 2022.

KUALA LUMPUR – Misi Keluarga Everest 2022 (KAME 2022) menawan puncak tertinggi dunia terhalang disebabkan faktor cuaca dan keselamatan.

Seorang orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim,32, yang juga salah seorang peserta  diarahkan berpatah balik oleh ketua malim gunung disebabkan angin kencang disusuli ribut salji mencecah kelajuan 54 kilometer (km) sehingga 70 km per jam.

Menurutnya, kejadian berlaku 22 Mei lalu pada 3 pagi (waktu Nepal) dan ketika itu dia bersama tiga pendaki lain terdiri dari Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampun Yaacub, 54, Koperal Pragash Murugesu, 32, dari Kem Ulu Kinta, Perak dan pakar teknologi maklumat, Oh Jin Heng (Jack), 37.

Katanya, kedudukan mereka ketika itu berada kira-kira 7,600 meter (m) dari paras laut ( 8,849 m ketinggian Everest) di ‘yellow band’ antara kem tiga dan kem empat dan hanya memerlukan anggaran masa 16 jam untuk tiba dipuncak tertinggi dunia itu.

“Kami berempat cuba meneruskan pendakian pada 7 pagi (waktu Nepal) namun cuaca bertambah buruk sehingga menyebabkan penglihatan terbatas disebabkan ribut salji dan tiga khemah turut diterbangkan ribut.

“Awang yang berhadapan masalah simpton buta salji manakala Pragash pula dikhuatri berhadapan radang dingin (frost bite) diarahkan berpatah balik awal ke EBC diiringi malim gunung dan sekiranya diteruskan akan berhadapan risiko radang dingin dan Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (AMS).

“Saya dan Jack cuba meneruskan perjalanan namun cuaca semakin buruk dan akur arahan ketua malim gunung untuk berpatah balik ke EBC,” katanya pada sidang media yang diadakan secara dalam talian semalam.

Sementara itu, Ketua Misi KAME 2022, Azim Afif Ishak, 32, pendaki Everest 2016 berkata, misi ini sebenarnya mampu direalisasikan namun terpaksa akur apabila berhadapan faktor cuaca di luar jangkaan.

Menurutnya,setakat ini kesihatan semua peserta dalam keadaan baik dan tidak berhadapan sebarang simpton selepas pemeriksaan dilakukan pihak perubatan KAME 2022.

Katanya, sebelum ini pihaknya turut berhadapan kekangan seperti mendapat permit pada saat akhir disebabkan masalah sumber kewangan yang diterima lewat dari pihak penaja.

“Pada peringkat awal pihaknya hanya mampu membeli empat permit dan diikuti enam permit lain bagi melakukan pendakian bermula 22 hingga 29 Mei.

“Kita juga menerima maklumat dari pihak kaji cuaca Nepal yang memaklumkan pada bulan ini salji juga mula mencair awal dan aktiviti pendakian ke puncak Everest ditutup pada hujung bulan ini atas faktor keselamatan.

“Misi yang mendapat sokongan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini terpaksa ditangguhkan ke Mac tahun depan atas faktor keselamatan dan pihak kami masih mempunyai peruntukan berjumlah RM1.5 juta untuk meneruskan misi ini membabitkan peserta yang sama.

“Berdasarkan pengalaman yang dilalui peserta termasuk telah menjalani latihan di Labuche Peak (6,119 m) dan latihan teknikal di laluan Khumbu Icefall ia menjadi satu kelebihan dan persedian untuk menghadapi misi pendakian pada tahun depan,” katanya.

Mengikut jadual, KAME 2022 memulakan misi pada 17 April lalu dan dijadualkan berakhir pada 5 Jun ini.

Mengikut jadual, KAME 2022 memulakan misi pada 17 April lalu dan dijadualkan berakhir pada 5 Jun ini.

Enam peserta lain yang menyertai misi ini terdiri dua anggota Komando 69 Ulu Kinta,iaitu Mohammad Hanif Che Ahmad, 28, Inspektor Kanang Usin, 42, jurutera, Ahmad Murshid Maktar, 34, kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin, 29, dan Pegawai Sukan, Rina Jordana Adnan, 41. – MalaysiaGazette