Home Nasional Jabatan Kimia sahkan sampel telur ada DNA ayam

Jabatan Kimia sahkan sampel telur ada DNA ayam

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin memeriksa telur yang dipercayai palsu dengan membezakan bersama telur yang sebenar ketika di Pejabat Malaysia Gazette. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kimia mengesahkan sampel telur ayam yang dihantar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini adalah tulen.

Pengarah Pejabat KPDNHEP WIlayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, sampel itu mengandungi DNA ayam.

“Pihak kementerian menghargai aduan yang disalurkan dan berharap orang ramai tidak perlu lagi risau atau panik berkenaan isu telur ayam tiruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ariffin, siasatan mengenainya dilakukan ekoran aduan daripada seorang pengguna yang merupakan pembaca MalaysiaGazette yang memaklumkan telur ayam dibelinya dari sebuah kedai yang menjual barangan keperluan membuat kek dan roti di Petaling Jaya disyaki tiruan baru-baru ini.

Ia ekoran teksturnya yang liat umpama getah dan rasanya yang berlainan.

Berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh pihak pengadu, KPDNHEP telah mendapatkan bantuan daripada pejabat KPDNHEP Petaling Jaya untuk membuat pemeriksaan di premis yang diadukan.

Pemeriksaan turut dijalankan di premis pembekal telur ayam dan hasil pemeriksaan mengesahkan pembekal telur ayam tersebut ada membekalkan telur ayam kepada premis yang diadu.

Kesemua telur ayam yang disita dari pengadu dan dua rantaian pembekal berkaitan telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa.

Siasatan dibuat mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu bagi apa-apa barang-barang adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan dengan kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pertubuhan perbadanan pula didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Telur tiruan dalam pasaran? KPDNHEP hantar sampel ke Jabatan Kimia

1 Komen

  1. Ayam sendiri yang membuat telur tiruan . Kenapa tak siasat ibu ayam itu . Mungkin tuan dia beri makan benda lain kot

Comments are closed.