MELAKA – Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia ke arah memantapkan disiplin bidang itu di negara ini.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu juga penting bagi mendukung standard dan meningkatkan lagi tahap profesionalisme kewartawanan.
Menurutnya, pemilihan Melaka sebagai lokasi pusat kajian itu mengambil kira sejarah tempat bermulanya perkembangan dunia kewartawanan di negara ini.
“Pusat kajian ini boleh mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan yang juga boleh melibatkan interaksi dengan pelbagai bidang kemasyarakatan lain merentasi konteks budaya yang berbeza.
“Saya berharap pusat tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan akademik dan penyelidik menjalankan kajian sejarah serta perjalanan bidang kewartawanan di Malaysia dan juga di nusantara.
“Bagi tujuan ini, amat sesuai jika Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia itu diwujudkan di Melaka dengan mengambil kira sejarah tempat bermulanya perkembangan dunia kewartawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaafar selain kira-kira 500 pengamal media cetak dan elektronik dari seluruh negara.
Majlis sambutan turut diraikan rakan pengarag media dari negara ASEAN termasuk 15 pemimpin utama dari Indonesia yang terdiri daripada Pemimpin Redaksi atau Ketua Pengarang serta pimpinan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri turut membuat kejutan apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada ISWAMI bagi melaksanakan aktiviti-aktivitinya bagi mengukuhkan hubungan media Malaysia- Indonesia serta negara-negara jiran lain yang sudah sekian lama terjalin.
“Diharapkan, dengan peruntukan ini, ISWAMI dapat merancang program kerjasama media kedua-dua negara seperti pertukaran wartawan, seminar, forum, bengkel dan webinar yang berupaya meningkatkan ilmu para pengamal media.
“Selain itu, ia juga diharap dapat menjadi jambatan dalam isu-isu berkepentingan bersama melalui kerjasama yang lebih strategik bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara,” katanya.
Dalam ucapannya itu, Ismail Sabri turut berkongsi simpati terhadap bidang kewartawanan tidak terkecuali dilanda cabaran lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi semasa apabila ledakan teknologi digital turut melahirkan ramai ‘wartawan segera’.
“Ini menyebabkan berleluasanya berita palsu atau berita tidak benar dalam talian sehingga mengganggu-gugat proses pembangunan negara.
“Saya berharap organisasi media dan wartawan dapat membantu menangkis dan menolak laporan tidak benar serta menyedarkan ‘wartawan segera’ supaya tidak lagi meneruskan perlakuan sedemikian,” katanya.
Justeru, jelasnya beliau memahami betapa pentingnya wartawan mendukung etika kewartawanan ke arah memartabatkan profesionalisme kewartawanan negara. – MalaysiaGazette