KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional 2022 (HAWANA 2022) yang disambut hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan mereka sebagai wira tidak didendang.
Menurut Al-Sultan Abdullah, pengamal media memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
“Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka Baginda bertitah peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas,” kata Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh wartawan dan pengamal media untuk menyediakan laporan yang tepat.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh wartawan dalam menjalankan tugas.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta kepada mereka yang telah bersara.
“Seri Paduka Baginda menghargai komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan dan pengamal media dalam menjalankan tugas menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat dan terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat,” katanya.
Sementara itu Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan wartawan agar terus menghormati undang-undang dengan menyediakan laporan yang penuh integriti dan bertanggungjawab.
Titah Seri Paduka, walaupun negara menjamin kekebasan berkarya namun wartawan perlu mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap setiap berita yang ditulis.
“Dengan ledakan maklumat di Internet dan media sosial, Seri Paduka Baginda menasihati wartawan dan pengamal media sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.
“Meskipun Kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media, mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” katanya.
HAWANA diadakan yang bertujuan bagi meraikan para petugas media berlangsung pada 29 Mei setiap tahun.
Sambutan tersebut telah dimulakan sejak tahun 2018 dan tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.- MalaysiaGazette