Home Politik Ahli parti masing-masing boleh luah perasaan – Ab Rauf

Ahli parti masing-masing boleh luah perasaan – Ab Rauf

Ab Rauf Yusoh

MASJID TANAH – UMNO Melaka menafikan desas-desus bakal berlakunya perubahan kedudukan dalam Badan Perhubungan UMNO negeri ke arah memperkukuhkan lagi kedudukan parti.

Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebaliknya berkata, perkara sama juga diakui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menjelaskan tiada perubahan di Melaka.

“Itu (perubahan) jangan dipanjang-panjangkanlah sebab bukan (keputusan) saya untuk memperhalusi, tak ada isu pun.

“Sehingga kini, parti berada dalam keadaan yang terbaik. Itu (desas-desus perubahan) saya anggap asam garam politik, tak anggap itu sebagai satu ancaman kepada kedudukan UMNO negeri pun,” katanya.

Tambahnya, masing-masing ahli parti boleh meluahkan perasaan masing-masing namun ia bukanlah sesuatu yang boleh menjejaskan keputusan dan kekuatan parti.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara berkata demikian ketika ditemui media pada rumah terbukanya di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini malam tadi.

Majlis dihadiri kira-kira 8,000 pengunjung bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu diserikan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sambutan turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI 1), Datuk Seri Ahmad Hamzah, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Semalam, media di Melaka menerima jemputan rumah terbuka berkenaan yang turut menyebut satu sidang media akan diadakan selepas itu oleh Ismail Sabri, Ahmad Zahid dan Ab Rauf.

Sebelum ini, UMNO Melaka dilanda spekulasi isu Sulaiman dipaksa menandatangai surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

Sulaiman bagaimanapun menafikannya dan menyifatkan ia adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri yang diterajuinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dakwaan itu kemudian turut dibincangkan menerusi satu forum yang disertai dua ketua UMNO bahagian bukan dalam kalangan wakil rakyat negeri.

Dua ketua UMNO berkenaan adalah Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad di Bahagian Tangga Batu yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Datuk Wira Hasan Abd Rahman di Jasin, selain Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.

Kemudian pada 13 Mei lalu, media melaporkan UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan Sulaiman segera dilantik sebagai Pengerusi UMNO Melaka dan Pengerusi BN yang baharu menggantikan Ab Rauf. – MalaysiaGazette