KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai pengecut selepas membuat keputusan muktamad untuk tidak berdebat dengannya.
Menurut Najib, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu telah menolak jemputannya untuk berdebat pada tahun 2019 atas alasan perdebatan itu akan mencetuskan isu perkauman.
Tambah Najib, alasan terbaharu Kit Siang untuk tidak berdebat dengannya akan memberi platform kepada beliau untuk menonjol dan menaikkan kredibiliti.
Ahli Parlimen Pekan itu secara sinis berkata, mungkin Kit Siang akan menerima pelawaan jika perbahasan diadakan dalam bahasa Mandarin.
Ini kerana pelawaannya berdebat dalam bahasa Inggeris sebelum ini telah ditolak.
“Pengecut. Berani fitnah dan tipu selama berpuluh tahun tapi kecut bila dicabar.
“Lalu dia panggil saya kleptokrat tapi dia terus lupa kes rasuah banglo dan terowong anak dia.
“Saya offer debat dalam Bahasa Inggeris dengan dia pun dia kecut. Takkan nak saya debat dalam Bahasa Mandarin pula?” tanya Najib.
Serentak itu, Najib mengulangi enam soalan yang perlu dijawab oleh Kit Siang. Soalan berkenaan telah dikemukakan sejak dua minggu lalu.
“Kenapa kamu meroyan lebih 10 tahun tentang kematian Teoh Beng Hock yang jatuh bangunan tapi kamu sepatah haram tidak pernah sebut tentang kematian mengejut saksi utama kes Terowong yang juga jatuh bangunan sebulan sebelum mendiang dijadualkan memberi keterangan dalam mahkamah.
“Kenapa kamu sekian lama nak tuduh dan kaitkan saya dengan pembunuhan beberapa orang tetapi selepas PRU14 kamu pulak kata kamu tak pernah tuduh saya?
“Kenapa kamu kata Malaysia bakal bankrap/gagal sejak 60 tahun lalu dari permulaan karier politik sehingga kononnya kamu bersara tetapi Malaysia belum bankrap/gagal lagi?” tanya Najib.
Soalan lain termasuk mengapa Kit Siang membuat kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-14 selepas berpuluh tahun menuduh bekas perdana menteri itu sebagai korup.
“Saya tak pernah didakwa mencuri/merompak/ambil rasuah tetapi bawah akta AMLA sebab saya tak gunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi – sangat berbeza dengan anak kamu yang benar-benar didakwa minta/ambil rasuah dan penyelewengan harta bawah kanun keseksaan. Jadi, kenapa kamu gelar saya kleptokrat tetapi tak tuduh anakmu seorang kleptokrat?
“Mana pendrive?” tanya Najib.
Kit Siang hari ini memuktamadkan pendiriannya untuk tidak akan melayan tuntutan Najib untuk berdebat.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjadikan ‘kleptokrasi’ sebagai alasan untuk tidak bersemuka dengan Najib sambil menambah Ahli Parlimen Pekan itu perlu menghilangkan diri selepas memalukan negara.
Beliau juga tidak mahu berdebat dengan Najib kerana tidak mahu memberikan sebarang platform kepada bekas perdana menteri itu yang hanya akan meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan Najib bahawa tidak ada salahnya untuk menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi. – MalaysiaGazette
Bergitulah sifat PENGECUT, hanya berani dibelakang2?
Kalau bapak dia PENGECUT panggil anak dia!