Home Utama Empat lagi kakitangan hospital ditahan kes rasuah pengurusan jenazah

Empat lagi kakitangan hospital ditahan kes rasuah pengurusan jenazah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan pengurusan jenazah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan pengurusan jenazah.

Menurut sumber, keempat-empat mereka merupakan dua pembantu kesihatan berusia 35 dan 38 tahun serta dua penolong pegawai perubatan berusia 37 dan 41 tahun.

Kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 6 petang di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Kesemua suspek lelaki yang berkhidmat di salah sebuah hospital di negeri Selangor dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan terbabit bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasanĀ  mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi telah mengesahkan penahanan tersebut.

Kata beliau, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah reman sementara seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan berusia 40 dan 42 tahun telah ditahan reman selama lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama. – MalaysiaGazette