MELBOURNE – Harga minyak naik ke paras tertinggi dua bulan pada Isnin ketika peniaga menunggu untuk melihat sama ada Kesatuan Eropah (EU) akan mencapai persetujuan pengharaman minyak Rusia menjelang mesyuarat mengenai pakej sekatan keenam terhadap Moscow kerana pencerobohannya ke atas Ukraine.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$0.46 atau 0.4 peratus, kepada AS$119.89 setong pada 0111 GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS melonjak AS$0.60 atau 0.5 peratus kepada AS$115.67 setong.
Harga ini melanjutkan keuntungan kukuh daripada minggu lepas .
EU dijangka bertemu pada hari Isnin dan Selasa untuk membincangkan pakej sekatan keenam terhadap Rusia ekoran pencerobohannya ke atas Ukraine.
“Saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang sukar untuk mengandaikan bahawa spekulator meletakkan kedudukan untuk melonjakkan pasaran minyak selepas sidang kemuncak EU,” kata rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes.
Sebarang lanjutan larangan terhadap minyak Rusia akan mengetatkan pasaran minyak mentah yang sudah tegang di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk petrol, diesel dan bahan api jet menjelang waktu puncak permintaan pada musim panas di Amerika Syarikat dan Eropah.
Kerajaan EU gagal bersetuju mengenai sekatan ke atas minyak Rusia pada Ahad, tetapi akan meneruskan perbincangan mengenai perjanjian untuk mengharamkan penghantaran minyak Rusia melalui laut sambil membenarkan penghantaran melalui saluran paip, menjelang sidang kemuncak pada petang Isnin, kata sumber.
Jika dipersetujui, perjanjian akan membolehkan Hungary, Slovakia dan Czechia terus menerima minyak Rusia melalui saluran paip Druzhba untuk beberapa lama sehingga bekalan alternatif boleh diatur.
Dalam pada itu, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu termasuk Rusia, yang dikenali sebagai OPEC+, bersedia untuk menolak seruan Barat untuk mempercepatkan penambahan pengeluaran minyak mereka apabila bertemu pada Khamis.
Mereka akan berpegang pada rancangan untuk menambah 432,000 tong sehari pada bulan Julai, enam sumber OPEC+ memberitahu Reuters.
Pasaran minyak juga terancam selepas Iran mengesahkan tentera lautnya telah merampas dua kapal tangki minyak Greece sebagai tindakan balas terhadap rampasan minyak Iran oleh Amerika Syarikat. – Reuters